SEBANYAK 4,200 puntung rokok berjaya dikutip melalui program #projektangan: Plogging Challenge diadakan di Putrajaya baru-baru ini.
Pengarah program, Carlos Basri berkata, sebahagian besar puntung rokok itu dibuang merata-merata oleh penduduk dan orang ramai di sekitar Pusat Komersial Ayer 8.
Menurutnya, peserta program turut mengutip barangan kitar semula membabitkan bekas tin minuman, straw dan botol plastik air mineral yang dibuang di merata tempat.
Mengulas lanjut projek sukarelawan itu, beliau berkata, kebanyakan warga Putrajaya masih kurang prihatin berhubung isu menjaga kebersihan.
"Kempen dianjurkan kerajaan juga kurang berkesan berikutan masih terdapat individu yang merokok di kawasan awam dan membuang puntung rokok sesuka hati.
“Kami akan adakan program ini setiap bulan dan mensasarkan kawasan perumahan kerajaan bagi mendidik komuniti menjaga kebersihan selepas ini," katanya.
Menurutnya, seramai 70 sukarelawan membabitkan Kelab Anak Muda Perdana dengan kerjasama Trash Hero Putrajaya dan Pusat Transit Remaja KafeTEEN Putrajaya dan terbabit dalam program diadakan selama tiga jam itu.
Carlos berharap orang ramai, masyarakat dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bekerjasama menjaga kebersihan Putrajaya supaya menjadi contoh kepada pihak luar.
Katanya, hasil tinjauan di restoran dan pusat komersil mendapati masyarakat tidak peka dengan kempen larangan merokok dan menjaga kebersihan.
“Kami berharap pendedahan diberikan kepada sukarelawan ini dapat mendidik peserta menjaga kebersihan di samping menjadi 'duta kecil' kepada masyarakat di kawasan ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan