HALAMAN SANTAI

Rabu, 5 Februari 2020

Pendakwa dakwa Rosmah ‘bossy’, boleh pengaruhi keputusan kerajaan





KUALA LUMPUR: Walaupun tidak mempunyai kedudukan rasmi, isteri bekas perdana menteri, Rosmah Mansor didakwa “bossy” (suka mengarah) sehingga boleh mempengaruhi keputusan kerajaan, demikian Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

Pendakwa utama, Gopal Sri Ram berkata Rosmah sendiri tidak mempunyai kedudukan rasmi tetapi mempunyai pengaruh besar kerana sifatnya yang suka menguasai orang lain.

”Dia menempatkan dirinya dalam kedudukan di mana dia dapat mempengaruhi keputusan dalam sektor awam,” katanya semasa membaca pernyataan pembukaan pendakwaan pada hari pertama perbicaraan kes rasuah Rosmah di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Sri Ram berkata pendakwaan akan mengemukakan keterangan langsung dan ikut keadaan bagi menunjukkan tertuduh meminta dan menerima suapan mengikut pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Rosmah, 68, dituduh meminta RM187.5 juta dan 2 pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin menerusi bekas pegawai khas kepada bekas perdana menteri, Rizal Mansor.

Wang itu sebagai upah kerana membantu syarikat berkenaan mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Gense/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di 3 tempat berasingan iaitu Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta; dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya, antara Mac dan 7 Sept 2018.

Perbicaraan kes rasuah itu dijadual bermula Isnin lalu tetapi ditangguhkan hingga hari ini kerana Rosmah tidak hadir pada hari berkenaan kerana diberi cuti sakit sehingga Sabtu ini.

Hakim berkata mahkamah bersimpati dengan keadaan kesihatan Rosmah dan membenarkan penangguhan selama 2 hari lagi.

Katanya, Rosmah akan dibenarkan duduk di kerusi roda semasa perbicaraan dan akan diberi waktu rehat jika tidak berasa sihat.

Tiada ulasan: