KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengingatkan pucuk pimpinan parti itu supaya tidak terburu-buru dalam menerima ‘lamaran’ yang dikatakan ke arah mengukuhkan kepentingan politik Melayu.
Katanya, apa juga lamaran untuk UMNO menunjukkan parti itu telah didambakan semula dan menjadi terus berpengaruh.
“Jika benar ia demi kepentingan Islam dan bertujuan mengukuhkan kepentingan bangsa, maka wajarlah lamaran itu difikirkan semasak-masaknya.
“Kepada kita yang dilamar ini, janganlah terlalu berbunga-bunga hati kita. Jangan berasa terlalu didambakan. Jangan sesekali terburu-buru hanya kerana sekali dua telah bertentang mata. Pesona nafsu kekadang sangat merbahayakan,” katanya dalam hantaran terbaharu di laman Facebook.
Mohamad mengulas pendedahan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam bahawa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan tentang parti itu menimbang untuk bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menjaga Muafakat Nasional dan menyelesaikan masalah Bossku.
Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau itu berkata, apa pun keadaannya, matlamat pihak yang melamar mesti jelas, begitu juga dengan aspirasi dan tindakan malah dalam paling penting, dalam politik jangan pernah kita lupa apa itu ‘perjuangan’.
“Adakah tujuan lamaran itu ikhlas dan strategik kepada kepentingan bangsa, agama dan parti?
Akankah ia menguntungkan parti dan bangsa Melayu dalam jangka masa panjang? Juga kemudaratannya kepada UMNO dan bangsa Melayu jika ia tidak laksanakan.
“Adakah jika lamaran itu ditolak, kedudukan dan kepentingan Melayu itu akan jadi lebih parah?
“Dan jika dilaksanakan apakah pula modus operandinya? Bagaimanakah pelan ini akan dilaksanakan agar boleh memaksimumkan kebaikan kepada parti dan bangsa Melayu?” soalnya.
Semua itu, katanya, perlu diperhalusi sedalam-dalamnya dan janganlah gopoh.
“Berhikmahlah dalam perhitungan kita. Kita mesti ingat. Sesuatu yang kelihatan dan kedengaran terlalu baik itu, boleh jadi perkara yang sebaliknya. too good to be true adalah ratib berwaspada yang sebenarnya matang dan berasas.
“Saranan saya, kita bawalah segala lamaran itu ke meja perbincangan pelbagai peringkat dalam parti. Bincangkan. Bahaskan. Dengan mendalam, dengan sejujur-jujurnya,” ujarnya.
Menurut beliau, kesemuanya itu penting agar parti tidak terperangkap dalam permainan politik pihak-pihak tertentu serta UMNO tidak berpecah-belah hanya kerana terlalu cepat menerima lamaran yang sebenarnya masih samar-samar dan sarat dengan tanda tanya.
“Sekalipun ingin menarik rambut dalam tepung, tepung jangan berselerak, jangan pula putus rambutnya. Jangan hanya baru mendengar guruh di langit, air di tempayan telah kita curahkan. Takut-takut, yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula keciciran.
Ingatlah, hal yang demikian kerap terjadi. Sebab itulah ia dipesankan kepada kita dengan bersebab. Semoga Allah SWT memberikan hidayah dan menunjukkan jalan terbaik untuk UMNO dan bangsa Melayu, insya-Allah,” katanya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan