HALAMAN SANTAI

Selasa, 6 Julai 2021

Adakah pertemuan Zahid dengan pemimpin UMNO langgar SOP?


Beberapa ahli Majlis Tertinggi UMNO berada di PWTC menurut laporan wartawan Agenda Daily di lokasi siang tadi.

Pihak berkuasa tidak dimaklumkan berhubung pertemuan para pemimpin UMNO dengan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang berlangsung siang tadi, kata Ketua Polis Dang Wangi Mohamad Zainal Abdullah.

Menurut laporan sebuah portal, UMNO atau pihak terbabit yang memanggil pertemuan hari ini di Menara Dato Onn tidak membuat permohonan kepada pihak polis bagaimanapun Zainal berkata tidak pasti sama ada ia mendapat kebenaran pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kita tidak dimaklumkan. Kena tanya Majlis Keselamatan Negara (MKN) (sekiranya ada kebenaran)” katanya.

Untuk rekod, Kuala Lumpur kini sedang dalam tempoh Fasa 1 perintah kawalan pergerakan (PKP) dalam Pelan Pemulihan Negara yang tidak membenarkan sebarang aktiviti mesyuarat bersemuka dan perlu dilaksanakan secara sidang video untuk negeri yang diletakkan di bawah Fasa Pertama.

Terdahulu, awal hari ini Agenda Daily mendedahkan beberapa ahli Majlis Tertinggi UMNO dan pemimpin komponen Barisan Nasional (BN) berada di ibu pejabat UMNO, PWTC yang difahamkan sedang berbincang untuk membuat pengumuman keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) malam ini, ia selepas berakhir tempoh 14 hari diberikan Zahid hari ini.

Wartawan Agenda Daily di lokasi memberitahu, dua ahli MT UMNO dilihat memasuki bangunan UMNO tersebut, antaranya Datuk Seri Razali Ibrahim dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Kemudiaan, Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak juga tiba dengan sebuah kereta berwarna putih yang membawanya masuk ke ruangan parkir dalam bangunan.

Beberapa Ahli Parlimen UMNO dipanggil Zahid dan Najib untuk hadir ke PWTC, sumber memberitahu salah seorang MP UMNO yang hadir semasa pertemuan tadi adalah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Tiada ulasan: