HALAMAN SANTAI

Ahad, 4 Julai 2021

Bentuk barisan padu di Parlimen, Leiking gesa Ahli Parlimen Sabah

Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking berkata, barisan padu ini akan 
 memastikan rakyat Sabah tidak lagi sekadar mengharapkan ihsan kerajaan 
persekutuan.

KOTA KINABALU: Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking menyeru Ketua Menteri Hajiji Noor agar memanggil Dewan Undangan Negeri (DUN) bermesyuarat secara tergempar minggu depan sebelum Parlimen bersidang semula.

Ini susulan permintaan untuk pelaksanaan prosedur operasi standard baharu (SOP), yang termasuk kebenaran makan dalam premis restoran, sudah dikemukakan Sabah kepada kerajaan persekutuan, namun belum diluluskan.

Leiking, yang juga ADUN Moyog, berkata persidangan tergempar ini perlu untuk membolehkan 24 Ahli Parlimen Sabah membentuk barisan yang padu ketika mengutarakan aspirasi dan kepentingan orang Sabah di Dewan Rakyat.

“Pada masa lalu, kita telah melihat Ahli Parlimen dari Sabah meremehkan satu sama lain, dan ini menghiburkan Ahli Parlimen dari Semenanjung. Sudahnya jika ada, manfaat yang kembali kepada Sabah sangat sedikit, walaupun dengan semua tuntutan dan perdebatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, bersatu mungkin menjadi langkah strategik bagi semua wakil rakyat Sabah, lebih-lebih lagi dalam era Covid-19, agar apa yang dipersetujui sebulat suara di DUN Sabah dapat disahkan di Parlimen.

Leiking berkata, inilah masanya bagi 24 Ahli Parlimen Sabah mengetepikan tujuan politik buat sementara waktu, dan memperjuangkan matlamat bersama untuk mengutamakan keperluan negeri serta rakyatnya.

Katanya, DUN mesti mewujudkan agenda bersama berkaitan negeri.

“Resolusi sedemikian akan menjadi kedudukan dwipartisan mengenai Sabah apabila Parlimen bersidang semula,” katanya.

Memandangkan hampir semua pihak berbicara dan berdebat mengenai Perjanjian Malaysia 1963, “ini adalah agenda bersama yang boleh dibuat sebagai permulaan”, katanya.

“Pada masa sama, kita semua ingin memastikan tidak ada orang Sabah yang terpinggir daripada mendapat vaksin Covid-19, bakul makanan, bantuan kewangan dan kemahiran (antara lain) yang kita perlukan untuk menghidupkan kembali negeri ini pasca-Covid-19.”

Katanya, kerajaan negeri harus berdebat dan menyelesaikan isu bersama dengan ahli pembangkang negeri supaya dapat membuat keputusan sebulat suara sewaktu persidangan DUN tergempar.

Ini kemudian akan menjadi ‘pendirian Sabah’ yang boleh dibentangkan oleh Ahli Parlimennya dalam sidang Parlimen, tambahnya.

Beliau berkata, langkah-langkah ini perlu untuk memastikan tindakan pascawabak dapat diuruskan rakyat Sabah sendiri, seterusnya tidak lagi sekadar mengharapkan ihsan kerajaan persekutuan.

Leiking berkata, Warisan, sebagai parti pembangkang, akan terus bersuara mengenai kelemahan dan kegagalan kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Namun, ini masanya kita harus mengutamakan keperluan Sabah dan rakyatnya terlebih dahulu.”

Tiada ulasan: