HALAMAN SANTAI

Isnin, 5 Julai 2021

DAP tawar bantuan guaman kepada pekebun durian Raub ditahan polis

Sebahagian pekebun durian di pekarangan Mahkamah Tinggi Kuantan sebelum 
bermulanya kes mereka. Mahkamah Rayuan memutuskan mereka tidak boleh diusir 
dari tanah itu ketika ini. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: DAP menawarkan bantuan guaman kepada 18 pekebun durian di Raub, Pahang yang ditahan polis semalam kerana dituduh menceroboh tanah yang mereka usahakan sejak beberapa dekad lalu.

Pekebun itu ditahan polis dan pegawai Jabatan Perhutanan Negeri ketika cuba memasuki kebun untuk mengutip durian mereka.

Ia adalah insiden terbaru sejak pertikaian berterusan antara pekebun dan kerajaan negeri berhubung tanah berkenaan.

ADUN Tras, Chow Yu Hui yang menemani pekebun itu semalam turut ditahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas namun beliau dibebaskan pagi tadi.

“Chow sudah dibebaskan selepas tengah malam tetapi 18 pekebun durian itu masih ditahan. DAP akan menawarkan bantuan guaman terhadap mereka yang ditahan.

“Ini adalah isu kelangsungan hidup pekebun durian yang sudah mengusahakan tanah itu sejak beberapa dekad dan kerajaan Pahang juga sepatutnya cuba mencari penyelesaian secara aman antara syarikat swasta besar dan pekebun,” kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam kenyataan.

Kerajaan Pahang mendakwa pekebun terbabit mengusahakan tanah itu secara haram dan mahu mengusir mereka memandangkan tanah itu sudah dipajak kepada sebuah syarikat penanaman durian.

Bagaimanapun pekebun itu berkata, mereka mempunyai hak untuk memasuki tanah itu selepas Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan notis arahan pengosongan tanah pada Januari lalu.

Mahkamah memutuskan pihak berkuasa tidak dibenarkan mengusir atau menghalang pekebun daripada memasuki kebun mereka.

Lim berkata, memandangkan pekebun itu mendapat kebenaran mahkamah, kerajaan negeri sepatutnya “menghormati niat dan prinsip yang wujud” dalam penangguhan tindakan serta tidak meneruskan sebarang tindakan sehingga mahkamah memutuskan sebaliknya.

Save Musang King Alliance (Samka), kumpulan pekebun durian terbabit dalam pertikaian undang-undang itu, turut mendakwa pihak berkuasa menebang beberapa pokok dalam kawasan tanah berkenaan.

“Mereka mula menebang pokok itu hari ini (Ahad). Mereka menebang kira-kira 200 pokok milik tiga pekebun,” kata Presiden Samka, Wilson Chang yang dipetik Malaysiakini.

Bagaimanapun, China Press yang memetik Pengarah Jabatan Perhutanan Pahang, Mohd Hizamri Yasin berkata pembersihan kawasan berkenaan tidak membabitkan tanah yang dipertikaikan itu

Tiada ulasan: