Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, perkara berkaitan pengisytiharan darurat sepatutnya dibawa ke parlimen ketika pertama kali ia diusulkan.
Ini selepas kerajaan mengumumkan proklamasi dan ordinan darurat akan dibentangkan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada sidang khas parlimen, 26 Julai ini.
"Pada mulanya mereka ingin mengesahkan pengisytiharan darurat. Kenapa sekarang? Sepatutnya bila ia dikemukakan, pengisytiharan mesti melalui Dewan Rakyat dan Dewan Negara sebelum diluluskan. Ini tidak berlaku bahkan dua-dua (dewan) tidak bersidang
"Setelah (darurat) dijalan lama, barulah usaha dibuat untuk memenuhi undang-undang dengan pengisytiharan darurat,” kata Mahathir dalam sidang media dalam talian hari ini.
Mahathir menegaskan perisytiharan darurat tidak sah kerana tidak dibawa melalui parlimen sebelum ini.
Katanya, ia menunjukkan kerajaan "menyalahgunakan kuasa dan mengabaikan undang-undang dan perlembagaan".
Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan menyatakan proklamasi darurat hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen dan jika tidak terlebih dahulu dibatalkan, hendaklah terhenti berkuat kuasa jika ketetapan diluluskan oleh kedua-dua Majlis.
Mahathir berkata kerajaan PN kini mahu menjadikan sidang khas parlimen selama lima hari itu untuk menjelaskan kepada anggota parlimen mengenai darurat, yang kebanyakannya bercanggah dengan undang-undang.
Menegaskan sekali lagi bahawa sidang khas parlimen itu hanyalah merupakan sesi taklimat, Mahathir berkata keempat-empat ahli parlimen Pejuang akan menghadirinya sidang itu, sekurang-kurangnya pada awal permbukaannya.
"Jika kami dapati ia hanya penjelasan mengenai dasar kerajaan, kami mungkin putuskan pada waktu itu untuk tinggalkan Dewan, tapi kami belum putuskan sepenuhnya mengenai hal ini, kerana kami ingin lihat bagaimana kerajaan melaksanakan sidang ini.
"Apakah mereka akan bercakap mengenai penderitaan rakyat atau apakah mereka akan bercakap perkara yang salah yang telah mereka lakukan?" katanya.
Sebelum ini, Mahathir berkata Pejuang masih belum memutuskan untuk menghadiri sidang khas parlimen itu atau sebaliknya.
Bagaimanapun Mahathir hari ini berkata rakyat mungkin tidak berpuas hati jika Pejuang tidak menghadiri sidang parlimen berkenaan selepas sekian lama menggesa ia diadakan.
"Jika kita tidak hadir, orang mungkin anggap kita dah minta parlimen untuk bersidang dan bila parlimen bersidang, kita tak hadir, tetapi kita ingin tunjukkan bahawa ini bukan persidangan sebenar parlimen," kata Mahathir.
Mesyuarat khas penggal ketiga parlimen dijangka berlangsung dari 26 Julai hingga 29 Julai dan 2 Ogos bagi Dewan Rakyat.
Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun sebelum ini berkata persidangan penuh Dewan Rakyat akan bermula pada 6 September.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan