HALAMAN SANTAI

Isnin, 19 Julai 2021

Gerobok Bergerak Ustaz Tuan jelajah Kubang Kerian

Oleh SYAHIRAH SALLEH
 


KUALA LUMPUR: Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kubang Kerian melalui Gerobok Bergerak Ustaz Tuan aktif mengedarkan bantuan asas kepada golongan memerlukan di sekitar parlimen itu.

Inisiatif menggerakkan bantuan menggunakan kaedah gerobok bergerak itu dilihat sangat memudahkan rakyat yang memerlukan bantuan, namun tidak berkemampuan untuk keluar bergerak ke pusat khidmat.

Setakat 18 Julai, semalam, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kubang Kerian itu berjaya menjelajah 25 mukim dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), ketua kampung, penghulu, pembantu, sukarelawan dan sebagainya.

Program dijadualkan akan diteruskan sehingga 19 Julai, hari ini.

Menurut Ahli Parlimennya, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, pihaknya akan terus menggerakkan inisaitif itu bagi mencari golongan yang memerlukan di sekitar Kubang Kerian.

“Alhamdulillah. Seharian Gerobok Bergerak menjelajah lebih kurang 25 mukim hari ini untuk memberi makanan asas kepada rakyat yang memerlukan.

“Esok, insya-Allah kami akan bergerak lagi mencari rakyat yang memerlukan di Parlimen Kubang Kerian. Semoga Allah mempermudahkan urusan kita semua,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook, semalam.

Gerobok Bergerak Ustaz Tuan aktif mengagihkan bantuan menggunakan tiga buah lori yang membawa barang makanan seperti telur, beras dan budu kepada rakyat Kubang Kerian.

Semetara itu, pihaknya juga turut menyediakan Gerobok Makanan (Food Bank) yang berlokasi di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Mereka yang memerlukan boleh mendapatkannya bermula jam 9.30 pagi hingga 3.00 petang.

Sebarang pertanyaan mengenai bantuan boleh terus menghubungi pihak Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Kubang Kerian di talian +6018-914 8099. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: