HALAMAN SANTAI

Sabtu, 3 Julai 2021

Ketua Pemuda UMNO kalah PRU anggap bantuan RM300 ribu tak cukup


Ketua Pemuda UMNO Datuk Asraf Wajdi Dusuki.

Usaha kerajaan dengan tidak meminggirkan blok pembangkang dalam pemberian peruntukan RM300 ribu kepada setiap Ahli Parlimen seluruh negara dikecam pula Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki sebagai tidak mencukupi.

Bekas calon Barisan Nasional yang kalah semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu itu berkata kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak perlu bangga dengan peruntukan yang diberikan itu seolah-olah ia mencukupi walhal jumlah bantuan tersebut tidak mampu menampung jumlah penduduk yang lebih ramai di kawasan Parlimen.

“Macam mana RM300,000 ini mampu menampung satu Parlimen yang rata-rata mempunyai penduduk lebih daripada 100,000 orang?” soalnya.

“Mendabik dada dengan RM300,000 yang hakikatnya tidak akan mampu memenuhi keperluan semua pihak, hanyalah menggambarkan keangkuhan dan kesombongan!” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, Asraf tewas dalam PRU14 lalu kepada calon PAS, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh dan tidak pernah memenangi sebarang kerusi dalam PRU dan hanya menang pun jawatan Ketua Pemuda UMNO sahaja.

Berbeza dengan kenyataan blok pembangkang, Pakatan Harapan yang memuji langkah diambil kerajaan dalam menambah jumlah peruntukan tersebut, nampaknya Asraf Wajdi dilihat lebih bersuara lantang daripada pembangkang.

Selain itu, tidak pasti kawasan Parlimen yang sedang dibantu oleh Asraf Wajdi ketika ini, selain sibuk mengeluarkan kenyataan dalam media sosial setiap hari.

Ia bukan kali pertama Asraf Wajdi mengeluarkan desakan terhadap kerajaan, malah bekas calon kerusi Parlimen Pasir Puteh itu juga sebelum ini menggesa supaya sidang Parlimen dibuka dengan segera selepas titah Yang di-Pertuan Agong lalu.

Bagi memberikan semangat kepada Asraf, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil Adhif Syan Abdullah yang bersimpati menawarkan untuk menyediakan kerusi kepada Asraf bagi membolehkannya duduk di tepi Dewan Rakyat bagi mengikuti perbahasan nanti.

Adhif berkata semangat Asraf perlu diberikan pujian walaupun tewas dalam PRU lalu dan tindakannya yang hampir setiap hari menggesa agar sidang Parlimen dibuka perlu dipuji.

“Saya puji semangat Asraf dan bersimpati apabila tidak ada Ahli Parlimen UMNO lain yang sudi menawarkan kerusi kepadanya untuk duduk mendengar perbahasan sidang Dewan Rakyat.

“Saya sebagai seorang anak muda juga memahami perasaan Asraf ini, sudah lah kalah pilihan raya jadi tidak ada tempat untuk beliau bercakap… Jadi, saya berharap dengan inisiatif saya ini, Asraf jangan lah luntur semangat untuk masuk bertanding selepas ini,” katanya.

Tiada ulasan: