Debu-debu merah menyelubungi sebahagian besar daerah Kuantan pada 2014 dan 2015, sehinggakan muncul suasana seakan planet Marikh akibat perlombongan galian bauksit.
Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh menyuarakan kebimbangan bencana alam sekitar itu boleh berulang apabila perlombongan bauksit bakal beroperasi semula tidak lama lagi.
Dia berkata walaupun Kajian Kesan Alam Sekitar (EIA) telah dilakukan dengan cadangan mitigasi, apa yang ada di atas kertas tidak selalu menjadi kenyataan.
Dia berkata penguatkuasaan selalu menjadi isu dan boleh saja gagal.
"Saya tidak akan bersetuju seperti yang mereka (EIA) cadangkan (untuk mitigasi), kerana kami tahu kami selalu menghadapi masalah dengan penguatkuasaan. Bagaimana kita tahu kali ini ia akan menjadi lebih baik?
"Walaupun mereka berjanji dan berjanji, kita masih menghadapi masalah," katanya kepada Malaysiakini.
Fuziah (gambar, atas) berkata kejadian pencemaran masa lalu sering disebabkan oleh cadangan langkah-langkah mitigasi projek yang gagal dilaksanakan.
"Berdasarkan pengalaman masa lalu, mereka akan memasukkan sebanyak mungkin (bijih bauksit yang mereka dapat ke dalam trak).
"Sekiranya mereka mengisinya, walaupun anda mencuci tayar (lori seperti yang dicadangkan oleh EIA), ia (bijih bauksit) masih akan jatuh ke jalan," katanya.
Fuziah mendakwa pada 2015, laporan Jabatan Alam Sekitar menunjukkan empat sungai Kuantan dicemari merkuri akibat perlombongan tetapi ini tidak didedahkan.
"Mereka kata akan memantau air (kolam pembendungan amang), (tetapi) bagaimana jika tiba-tiba mereka melihat kenaikan dan peningkatan logam berat?
"Bagaimana kita tahu bahawa orang-orang ini akan bertanggung jawab dan benar-benar rajin untuk memastikan persekitaran tidak terjejas," soalnya.
Tapak perlombongan yang dicadangkan adalah di Bukit Goh, sekitar 20km ke utara pusat bandar Kuantan.
Risiko terhadap loji rawatan air
Dia menunjukkan loji rawatan air Bukit Goh, yang terletak di Sungai Riau, berada berdekatan tapak perlombongan yang dicadangkan.
Penduduk setempat akan terkena dampak secara langsung jika air kumbahan dari kawasan perlombongan mengalir ke sungai, jelasnya.
Loji rawatan air Semambu, yang terletak berhampiran Sungai Kuantan, sumber air utama untuk lebih 700,000 penduduk di Kuantan.
Fuziah memberi amaran aktiviti perlombongan bauksit di hulu akan mencemarkan sumber air minuman untuk Kuantan.
Konflik kepentingan
Fuziah mengkritik Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) milik kerajaan negeri kerana menjadi pemacu utama projek perlombongan itu.
“PKNP (adalah sebahagian daripada) kerajaan negeri, penguatkuasaan juga dilakukan oleh kerajaan negeri. Tentu ada konflik kepentingan,” katanya.
Mengingat kejadian pencemaran yang berlaku enam tahun lalu, Fuziah menyifatkannya sebagai "malapetaka alam sekitar" dan "mimpi ngeri" bagi penduduk Kuantan.
Pun begitu, tidak ramai penduduk Kuantan yang tahu mengenai projek perlombongan baru itu, katanya.
Menurut Fuziah ini kerana peluang terbatas untuk menjelaskan masalah ini kepada orang ramai, seperti melalui sesi perundingan awam semasa penutupan Covid-19 yang sedang berlangsung.
"Kebimbangan saya, tidak akan ada banyak bantahan kerana orang tidak sedar dan mereka tidak tahu apa yang harus dilakukan mengenainya.
"Bagaimana kita memastikan tidak akan ada satu lagi bencana lain disebalik semua janji-janji mereka," soalnya.
Gambar fail.
Malaysiakini sebelum ini melaporkan moratorium perlombongan bauksit di Kuantan telah ditarik balik dan badan milik kerajaan Pahang akan mengetuai projek perlombongan baru itu.
Laporan EIA ini dibuka untuk pameran awam bermula 22 Jun sehingga esok (21 Julai).
Orang ramai digalakkan untuk memberikan maklum balas mereka terhadap EIA projek tersebut sepanjang tempoh ini.
Kumpulan alam sekitar Save Malaysia Stop Lynas juga berkata pihaknya tidak berpuas hati kerana orang ramai tidak mendapat maklumat secukupnya mengenai cadangan projek perlombongan itu.
Pengerusinya Tan Bun Teet berkata masa juga tidak cukup untuk meneliti projek tersebut dan memberi maklum balas.
"Setiap penduduk Kuantan adalah pemegang taruh, pihak kepentingan, bukan hanya penduduk Bukit Goh," katanya.
Tan mendesak Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk melanjutkan tempoh pengumpulan maklum balas orang ramai.
Tinjauan yang dilakukan untuk EIA projek berkenaan mendapati 70 peratus responden tidak bersetuju dengan projek itu dan merasakan ia tidak akan bermanfaat.
Tan juga menyuarakan sentimen sama dengan Fuziah bahawa entiti kerajaan negeri tidak boleh terlibat dalam projek perlombongan kerana konflik kepentingan membabitkan agensi penguatkuasaan.
Dia mendesak JAS untuk berfikir dua kali sebelum meluluskan EIA lombong bauksit ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan