WAWANCARA | Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Zuraida Kamaruddin percaya kedudukan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri tetap selamat kerana tiada mana-mana pihak dapat mengumpulkan sokongan untuk menyingkirkannya.
Dalam wawancara dengan Malaysiakini baru-baru ini, Zuraida berkata ini kerana Umno telah memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan DAP dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim.
Malah katanya, pemimpin Pejuang Dr Mahathir Mohamad juga tidak boleh bekerjasama dengan Anwar.
"Bagaimana mereka boleh kumpulkan sokongan untuk bentuk kerajaan? Ia mustahil bagi saya,” katanya.
Zuraida berkata adalah perlu bagi kerajaan Perikatan Nasional (PN) terus mentadbir kerana negara ini memerlukan kerajaan yang stabil semasa fasa pemulihan sehingga pandemik Covid-19 reda.
"Apabila kita ada peluang, pilihan raya boleh diadakan. Kerajaan (berikutnya) akan lebih stabil pada waktu itu. Maka siapa yang ambil alih akan lebih mudah.
"Sekarang jika (orang lain) ambil alih, ia akan menjadi kucar-kacir dan rakyat akan jadi mangsa," katanya.
Kini setelah kerajaan memulakan pelbagai pakej rangsangan, Zuraida berkata fokus harus diberikan terhadap pelaksanaannya dalam memastikan pemulihan ekonomi.
“Sebelum ini kita ada Lim Guan Eng (sebagai menteri kewangan) dan dia kata kita (negara) tidak ada wang. Sekarang kita ada Tengku Zafrul (Abdul Aziz) yang berkebolehan - saya tidak tahu bagaimana dia lakukannya - berikan kita semua ini Pemulih, Perkasa (pakej rangsangan lain).
"Sekiranya kerajaan lain ambil alih, saya tidak tahu bagaimana ia akan memperbaiki apa yang ada. Oleh itu, biarkan (kerajaan) kekal stabil demi rakyat. Kita boleh adakan pilihan raya nanti," katanya.
Zuraida, yang merupakan pengarah pilihan raya PN Selangor, berkata dia yakin gabungan itu akan berjaya merampas kerajaan negeri dari Pakatan Harapan.
Dia berkata PN mempunyai kelebihan kerana ia mempunyai asas Melayu yang kuat dan Muhyiddin dapat menarik sokongan pengundi Melayu.
"Muhyiddin adalah perdana menteri yang sangat sederhana. Dia sangat bertolak ansur dan mencerminkan nilai-nilai Islam," katanya.
Sementara itu Zuraida mengakui PN tidak mempunyai kelebihan di kerusi majoriti bukan Melayu tetapi menjangkakan akan dapat menembusi kerusi campuran.
Ditanya apakah ramalan itu mengambil kira bahawa Umno tidak akan bekerjasama dengan PN pada pilihan raya akan datang, Zuraida berkata PN sudah bersedia untuk berdepan perkara itu.
"Kekuatan Umno ada di kawasan luar bandar Melayu, bukan di kawasan bandar. (Kami boleh tembusi) kawasan luar bandar kerana kerajaan PN mencerimkan sebuah kerajaan berasaskan Melayu. (Penduduk luar bandar) selesa dengan Muhyiddin.
“Lagipun,
kami ada ahli parlimen yang berpengalaman dalam kalangan kami. Saya
rasa kita mampu menang (kawasan luar bandar) di kerusi Melayu juga,”
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan