HALAMAN SANTAI

Rabu, 7 Julai 2021

Nazri beri amaran kepada Zahid, berhenti laga-lagakan MT dan MP UMNO


Amaran Datuk Seri Nazri Aziz kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, 'henti melaga-lagakan MT dengan MP UMNO'.

Pemimpin senior parti, Datuk Seri Nazri Aziz memberi amaran kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya berhenti membuat tindakan melaga-lagakan Majlis Tertinggi (MT) dengan Ahli-Ahli Parlimen (MP) parti itu.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata Zahid tidak seharusnya berterusan mencetuskan pergaduhan dalam parti, ia selepas spekulasi bertiup kencang Zahid akan menggunakan MT untuk mendesak MP UMNO keluar kerajaan Perikatan Nasional (PN) esok.

“Zahid ini dia cuba memecah-belahkan parti, sekarang ini dia nak melaga-lagakan MT dengan MP UMNO demi kehendak peribadinya,” kata Nazri kepada Agenda Daily dalam perbualan telefon semalam.

Sekiranya Zahid tidak mahu nasibnya berdepan dengan tentangan lebih hebat selepas ini, Nazri menasihati Zahid agar berhenti dengan tindakannya yang hanya akan memecahkan parti dan merugikan rakyat selepas ini.

"Saya tidak bersetuju dengan tindakan untuk mendesak MP UMNO dan BN keluar daripada kerajaan PN, ini sangat tidak wajar… negara sedang berdepan krisis Covid-19, kenapa sekarang nak ambil tindakan seperti ini?

“Jika Zahid masih berterusan macam ini, saya akan lawan dia… saya akan lawan dalam Parlimen nanti,” katanya.

Menurutnya lagi, sekarang sudah terbukti Zahid berpakat dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP selepas pendedahan pengakuannya semasa pertemuan dengan MP UMNO dan Barisan Nasional (BN) baru-baru ini di Wisma Perwira.

“Semasa dia bertemu MP UMNO dan BN dia dah buat pengakuan, sebenarnya saya sudah tahu lama lagi dia ini penipu… Ini terbukti dia penipu, tindakan perlu diambil terhadap Zahid susulan pengakuan terbaharu ini,” kata Nazri yang merujuk kepada laporan media berhubung pengakuan tersebut.

Nazri menyifatkan pengakuan tersebut adalah bukti jelas Zahid sendiri melanggar ketetapan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 dan tindakan boleh diambil terhadapnya kerana membelakangi keputusan badan tertinggi itu.

“Zahid sudah mengaku, bukankah itu sudah melanggar ketetapan PAU… jadi, sekarang sudah terbukti ada kesalahan dilakukan Zahid dan melanggar peraturan parti dan boleh dikenakan tindakan disiplin parti,” ujarnya.

Terdahulu, Astro Awani mendedahkan rakaman klip audio tular dengan Anwar disahkan ketulenannya oleh Zahid sendiri semasa pertemuan semalam.

Sumber memberitahu Astro Awani, Zahid membuat pengakuan itu dihadapan MP UMNO dan BN semasa pertemuan yang berlangsung selama lebih dua jam itu.

“Selain keputusan mesyuarat yang menolak cadangan menarik semula sokongan kepada kerajaan PN, beliau (Zahid) mengaku kepada semua itu suaranya dalam perbualan bersama Anwar yang viral tidak lama dahulu selain telah menandatangani surat akuan bersumpah (SD) menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri,” kata sumber yang dipetik Astro Awani itu.

UMNO dijadualkan mengadakan mesyuarat MT hari ini dan bakal memuktamadkan keputusan sama ada MP UMNO akan kekal dalam kerajaan PN atau sebaliknya. Bagaimanapun sumber parti memberitahu kemungkinan besar Zahid akan cuba mendesak MT membuat ketetapan MP UMNO perlu meninggalkan kerajaan PN.

Tiada ulasan: