SUARA MERDEKA
Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul AzizDatuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengumumkan kembali sokongan beliau kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut Ahli Parlimen Padang Rengas itu,
pengisytiharan terbaharu itu sekali gus membatalkan penarikan sokongan
terhadap Muhyiddin yang dibuatnya pada Januari lepas.
“Januari lalu saya membuat pengumuman menarik
sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin. Hari ini saya nak umumkan saya
kembali memberi sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin.
“Dengan keputusan ini, penarikan sokongan yang saya buat sebelum ini terbatal,” katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI pada Jumaat menerusi telefon.
Nazri merupakan antara ahli politik yang
lantang mengkritik kepimpinan parti UMNO dan kerajaan Perikatan Nasional
pimpinan Muhyiddin.
Sebelum ini, beliau mengakui menjadi perancang
utama dalam mengumpul akuan bersumpah (SD) di kalangan Ahli-ahli
Parlimen Barisan Nasional (BN) bagi menyokong Datuk Seri Hishammuddin
Hussein.
Tegas Mohamed Nazri, tindakan itu adalah bagi
memberi mandat kepada Menteri Luar itu untuk menjadi jurucakap kepada
kesemua 25 wakil rakyat BN sekiranya dipanggil mengadap Yang di-Pertuan
Agong.
Nazri juga pernah mendakwa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai seorang yang tidak boleh dipercayai.
Pada awal tahun, Nazri mendakwa beliau ditipu oleh Zahid sehingga membuat keputusan untuk menarik sokongan terhadap Muhyiddin.
“Saya tarik sokongan terhadap Tan Sri
Muhyiddin pada 12 Januari lalu kerana ditipu oleh Zahid yang merancang
untuk menjatuhkan kerajaan.
“Zahid rancang, Ahli Parlimen UMNO yang tidak
pegang jawatan dalam kerajaan tarik sokongan one by one, hingga kerajaan
ini jatuh.
“Sebagai tanda setiakawan dan percaya kepada
beliau, saya menarik sokongan selepas Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad
Jazlan Yaakob membuat keputusan yang sama.
“Selepas saya dan Jazlan, tiada siapa yang
umum tarik sokongan termasuklah Zahid. Sebagai presiden parti yang
merancang semuanya, sepatutnya dia yang pertama tarik sokongan,” dakwa
Nazri lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan