HALAMAN SANTAI

Jumaat, 23 Julai 2021

Penipu politik tak layak diangkat jadi Perdana Menteri, kata Hadi Awang


Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membidas individu yang masih bermain politik menipu rakyat yang lemah dengan menenggelamkan janji kosong Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu dengan perbalahan siapa yang patut diangkat menjadi Perdana Menteri.

Tanpa merujuk kepada mana-mana pihak, beliau diyakini membidas Pakatan Harapan (PH) yang gagal menunaikan janji manifesto PRU14, tetapi sekarang ini mendakwa mampu pula menyelesaikan masalah Covid-19, sedangkan belum ada negara yang berjaya menanganinya.

“Adakah mereka yang sebegitu rupa masih boleh dipercayai, apabila secara tiba-tiba bertempik dengan berdemonstrasi dan mengangkat slogan gagah perkasa kononnya mampu menghadapi wabak yang melanda seluruh dunia hari ini.

“Sedangkan mereka baru sahaja menipu rakyat dengan janji manifesto yang tidak mampu ditunaikan? Berpolitik tidak seharusnya menjadi seperti penjual ubat yang menipu pelanggan, dengan menggunakan cara kotor yang diharamkan.

“Mungkin politik yang diamalkannya berpisah daripada sempadan agama dan moral yang luhur, suatu sifat yang tidak boleh diterima oleh masyarakat yang beragama, berakhlak dan berakal sihat. Inilah sebenarnya yang dinamakan dengan politik yang kotor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Marang itu berkata rakyat telah diperbodohkan dengan cara menyebar masalah yang belum selesai di seluruh dunia sebagai alasan kegagalan sekali gus menutup lebih banyak kejayaan yang dicapai.

“Lebih parah sekiranya gerakan yang merosakkan masyarakat ini didalangi oleh musuh agama, negara dan bangsa yang bersedia memberikan seberapa banyak sumbangan kepada sesiapa sahaja yang bersedia menjadi tentera upahannya. Lebih malang lagi, apabila penganut Islam berwalikan (bertuankan) kepadanya,” katanya.

Sehubungan itu Hadi mengajak seluruh rakyat bersatu dalam menghadapi wabak penyakit pemikiran dan kefahaman yang lebih berbahaya daripada wabak Covid-19.

Katanya kerajaan (PH) yang tidak bermoral itu telah berjaya dijatuhkan dengan bantuan mereka yang sedar dan kemudian diganti dengan kerajaan (Perikatan Nasional) yang lebih bertanggungjawab dengan penuh kesabaran dan menunaikan kewajipan kepada rakyat tanpa sebarang janji manis.

Memetik peristiwa Isra’ dan Mi’raj Rasulullah SAW, beliau berkata perbuatan berbohong dan menipu demi mencapai cita-cita hingga menghalalkan segala cara adalah penyakit yang wajib dijauhkan dan tidak layak memimpin negara dan rakyat.

Tiada ulasan: