Selepas tersebar spekulasi beberapa Ahli Parlimen (MP) UMNO menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri (PM) baharu, Datuk Ahmad Nazlan Idris tampil membuat pengakuan secara terbuka.
MP Jerantut itu mengakui ada menandatangani akuan bersumpah (SD) yang menamakan Ketua Pembangkang itu sebagai PM yang baharu dengan alasan ingin mencuba kerajaan baharu yang mungkin lebih baik daripada Perikatan Nasional.
“PH (Pakatan Harapan) terbukti gagal, selepas itu PN (Perikatan Nasional) yang pada pandangan saya, walaupun tidak gagal tapi belum berjaya membantu rakyat, jadi kenapa tidak kita cuba pula kerajaan baharu yang ketiga demi mencari kerajaan terbaik menggantikan BN (Barisan Nasional).
“Jadi, apabila ada idea mencadangkan Anwar sebagai Perdana Menteri, saya bersetuju. Masih ada dua tahun ketika ini yang boleh kita cuba, kita dah merasai 22 bulan di bawah PH, berbelas bulan dengan PN dan kita rasa pulalah kerajaan baharu, mungkin kerajaan baharu itu nanti lebih berwajah baru,” katanya dipetik Mingguan Malaysia.
Nazlan bagaimanapun tidak mengetahui MP lain yang turut menandatangani SD sokongan kepada Anwar.
“Saya apabila diminta membuat pilihan dan pertimbangan, pada saya tidak salah kerana kerajaan hari ini belum berjaya pada hemat saya, jadi baik kita beri peluang kepada kerajaan baharu,” katanya.
Terdahulu, Agenda Daily melaporkan tular dalam media sosial satu dokumen dikatakan dibawa Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid semasa menghadap Yang di-Pertuan Agong 11 Jun lalu yang menegaskan UMNO membuat keputusan untuk keluar daripada kerajaan PN sebelum tarikh akhir 1 Ogos ini.
Dokumen tersebut juga mendedahkan Zahid kononnya mendakwa semua Menteri dan Timbalan Menteri UMNO berikrar untuk meletak jawatan daripada kerajaan PN.
Seorang pemimpin senior UMNO, Datuk Seri Nazri Aziz menyifatkan pendedahan dokumen tersebut membuktikan dakwaannya Zahid menyampaikan maklumat salah kepada semasa menghadap Agong baru-baru ini terbukti benar.
Nazri menyifatkan ia merupakan satu penderhakaan yang jelas kerana cubaan menipu Tuanku.
Nazri juga sebelum ini mendedahkan sudah mengumpul surat akuan bersumpah (SD) untuk menyokong Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai jurucakap rasmi kepada 25 orang Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), ia sekiranya Ahli Parlimen Sembrong itu dipanggil menghadap Agong.
Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata langkah tersebut diambil sebagai tindakan balas terhadap Zahid yang memberikan maklumat mengelirukan kepada Agong berhubung sokongan kepada Anwar sebagai calon PM.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan