HALAMAN SANTAI

Selasa, 20 Julai 2021

Tengok, dengar keadaan rakyat, jangan menidakkan hakikat – Zahid

Manzaidi Mohd Amin
MGF19102019_KONVENSYEN-UMNO-SELANGOR05
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mendengar cerita mengenai keadaan rakyat dan berusaha memahami realiti negara ketika ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan tidak boleh terus bermain politik dengan mengerahkan propaganda untuk menidakkan hakikat.

“Kerajaan wajib segera memperbaiki keadaan supaya tidak ramai terjerumus dalam jenayah survival, bukan cuba mengalih dan mengaburi rakyat daripada permasalahan yang sedang berlaku.

“Memperbaiki keadaan bukan sekadar kerajaan sediakan bakul makanan guna dana sumbangan swasta.

“Memang kita hargai inisiatif yang diberi, tetapi sampai bila? Itu solusi bersifat sementara. Negara perlukan penyelesaian yang konkrit dan komprehensif,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.’

Beliau mengulas kisah kecurian yang berlaku di pasaran raya borong Mydin yang diceritakan sendiri oleh Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd., Datuk Dr. Ameer Ali Mydin.

Ameer Ali menerusi media sosialnya semalam menyuarakan mengenai kehidupan rakyat di negara ini semakin tenat dan sanggup mencuri di pasar raya disebabkan kesusahan hidup.

Paling menyedihkan mereka bukan mencuri barang berharga mahal elektronik, pakaian atau seumpamanya, tetapi sayur-sayuran untuk dijadikan makanan mengalas perut.

“Dalam situasi sekarang orang mencuri, tapi dia ambil makanan, dia ambil sayur. Dia kata untuk masak dan dia sangat malu ketika saya bertanya,” cerita Ameer Ali.

Menurut Ahmad Zahid, sesiapa sahaja termasuk beliau sama sekali tidak menyokong perbuatan jenayah kerana baginya matlamat tidak menghalalkan cara.

Bagaimanapun, katanya, dalam diri setiap insan pasti ada nilai perikemanusiaan.

Kata beliau, penularan wabak perlu diatasi secepat mungkin dan ekonomi dipulihkan pada kadar segera.

“Telah lebih setahun mereka yang menguruskannya gagal, maka sesuatu perlu dilakukan,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: