HALAMAN SANTAI

Khamis, 7 Oktober 2021

PN tak sokong wujud jawatan Timbalan Speaker ketiga, kata Muhyiddin

Muhyiddin berkata, kewujudan dua Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat 
seperti yang termaktub dalam Perkara 57(1)(b) Perlembagaan Persekutuan 
adalah memadai bagi tujuan menjamin kelicinan perjalanan mesyuarat 
Dewan Rakyat. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Perikatan Nasional tidak menyokong sebarang cadangan pindaan perlembagaan bagi tujuan mewujudkan jawatan Timbalan Speaker ketiga pada masa ini, kata Muhyiddin Yassin.

Pengerusi PN itu berkata, pindaan Perlembagaan untuk menambah jawatan Timbalan Speaker tidak termaktub dalam Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani antara Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan pimpinan Pakatan Harapan pada 13 Sept.

Katanya, persefahaman antara kerajaan dan pembangkang di Parlimen adalah terhad kepada perkara yang dipersetujui bersama dan termaktub secara jelas dalam memorandum persefahaman itu.

“Justeru, adalah tidak wajar bagi mana-mana pihak untuk menuntut pelaksanaannya. Atas dasar ini, Perikatan Nasional telah membuat pendirian untuk tidak menyokong sebarang cadangan pindaan perlembagaan bagi tujuan ini,” katanya dalam kenyataan.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, kewujudan dua Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat seperti yang termaktub dalam Perkara 57(1)(b) Perlembagaan Persekutuan adalah memadai bagi tujuan menjamin kelicinan perjalanan mesyuarat Dewan Rakyat.

Selain itu katanya, peruntukan Perkara 57(3) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan mana-mana Ahli Dewan Rakyat mempengerusikan mesyuarat Dewan Rakyat pada masa ketiadaan Yang di-Pertua dan Timbalan-Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat juga adalah memadai bagi tujuan menjamin kesempurnaan perjalanan mesyuarat Dewan Rakyat.

“Justeru, tiada keperluan bagi Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk menambah satu lagi jawatan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada masa ini.

“Cadangan pindaan perlembagaan ini memerlukan sokongan majoriti dua pertiga Ahli-Ahli Dewan Rakyat,” katanya.

Pada 14 Sept, kerajaan memohon penangguhan pelantikan Timbalan Speaker yang sepatutnya dibuat pada persidangan Parlimen hari berkenaan bagi menggantikan Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman Said.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar dipetik berkata, penangguhan itu bagi membolehkan kerajaan meminda Perkara 57(1) (b) untuk menambah jawatan Timbalan Speaker kepada tiga orang berbanding dua pada masa kini.

Menerusi pindaan itu, satu daripada jawatan itu akan diisi oleh wakil rakyat daripada blok pembangkang.

Tiada ulasan: