HALAMAN SANTAI

Isnin, 4 Oktober 2021

PAS tunjuk dulu cara kerjasama dengan Amanah – Lokman Adam

MALAYSIA POST
PAS tunjuk dulu cara kerjasama dengan Amanah – Lokman Adam

TUNJUK dulu cara kepada Umno bagaimana bekerjasama dengan individu yang pernah mengkhianati parti, kata Datuk Lokman Nor Adam.

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu berkata demikian mengulas kenyataan Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Pusat, Ahmad Dusuki Abdul Rani bahawa Umno dan Bersatu tiada keperluan untuk saling berlawan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

“PAS pun pernah rasa macam mana dikhianati, jadi saya cadangkan PAS kena tunjuk dulu macam mana nak bekerjasama dengan Amanah?

“Amanah pun parti Islam dan Melayu juga. Jadi jika PAS berjaya tunjukkan contoh caranya, bekerjasama dengan parti yang khianat kita, yang lawan kita, baru kita boleh sembang perkara ini,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost, hari ini.

Lokman menambah, sukar untuk akar umbi Umno berlapang dada bagi menjalinkan kerjasama dengan Bersatu pada PRU15 apabila mengenangkan apa yang telah Bersatu lakukan kepada Umno selama ini.

“Umno telah ditekan, dibuli, dipecah belahkan oleh Bersatu, malah pemimpin-pemimpin Umno dikenakan pelbagai tuduhan di mahkamah. Ini PAS tak pernah rasa lagi.

“Daripada bekas Presiden, Presiden Umno sendiri, pemimpin tertinggi Umno telah dihadapkan ke mahkamah dengan tuduhan tidak masuk akal. Banyak tindakan Bersatu mengguris hati orang Umno walaupun Umno menyokong mereka untuk membentuk kerajaan Perikatan Nasional,” katanya.

Justeru, Lokman berkata, ketetapan Perhimpunan Agung Umno yang lalu jelas memuktamadkan bahawa parti itu tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada PRU15 akan datang.

“Ketetapan PAU yang diumumkan Presiden jelas, hubungan Umno dengan Bersatu akan terhenti sehingga Parlimen dibubar. Umno kekal dengan tradisinya memimpin Barisan Nasional (BN) untuk menawan Putrajaya pada PRU15 ini.

“Justeru kerjasama antara kedua-dua parti mustahil berlaku, apa yang boleh ahli Bersatu kembali ke pangkal jalan dengan menyertai Umno semula. Itu jalan terbaik kerana Umno adalah parti yang konsisten perjuangkan orang Melayu dan Islam sejak merdeka lagi,” katanya.

Terdahulu, menerusi hantaran di Facebook, Ahmad Dusuki berkata, demi penyatuan sesama umat Islam dan satu bangsa, kedua-dua parti perlu saling berlapang dada antara satu sama lain, saling menghilangkan rasa tamak dan ego, saling memberi dan menerima kemenangan serta kekalahan.

Semalam Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata parti itu Bersatu sedia melawan Umno pada PRU15 sekiranya Umno kekal dengan keputusannya untuk tidak bekerjasama.

Muhyiddin berkata, mereka perlu menghadapi ‘realiti politik’ itu sekiranya Umno enggan berganjak dalam pendiriannya.

Kelmarin, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan keputusan enggan bekerjasama dengan Bersatu pada PRU15 adalah muktamad.

Kenyataan Ahmad Zahid itu dibuat sehari selepas PN berkata parti berkenaan membincangkan pengagihan kerusi tanpa pembabitan BN. – Malaysiapost

Tiada ulasan: