HALAMAN SANTAI

Isnin, 25 Oktober 2021

UMNO Tangga Batu marah Idris beri ucapan semasa mesyuarat cawangan


Tindakan bekas Ketua Menteri (KM) Datuk Seri Idris Haron yang hadir bersama dan dijemput memberikan ucapan semasa satu mesyuarat cawangan menimbulkan kemarahan UMNO Bahagian Tangga Batu.

Idris dijemput ke satu mesyuarat UMNO Cawangan Klebang Kecil dan bertemu dengan ahli-ahli akar umbi, malah turut memberikan ucapan kepada kepada hadirin yang hadir semasa mesyuarat diadakan di kediamannya pagi ini.

Tindakan tersebut menimbulkan rasa tidak puas hati Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad kerana Idris sudah pun dipecat parti kerana tindakannya mengetuai kumpulan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menumbangkan kerajaan negeri dipimpin UMNO.

Ali membidas Idris sebagai gila talak apabila masih perasan dirinya seorang ahli UMNO lagi walhal sudah digugurkan keahliannya.

“Apa yang dilakukan oleh Datuk Seri Idris ini amat luar biasa, dan tidak mempunyai satu pengertian dan maknanya beliau seolah olah tidak faham bahawa mesyuarat agung UMNO mesti dihadiri ahli UMNO.

“Saya kira dia ini seolah-olah masih lagi berada dalam UMNO, seolah-olah ‘gila talak’ menganggap diri dia masih dalam UMNO.

“Masa sama dia bukan ahli UMNO, saya amat kesal sebagai Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu,” katanya dipetik dalam laporan Astro Awani hari ini.

Ali juga menyifatkan Idris sebagai tidak mempunyai nilai diri apabila mengemis semula sokongan UMNO meskipun sebelum ini sudah bersekongkol dengan blok pembangkang menjatuhkan kerajaan negeri.

“Kedua, dia melakukan keadaan nilai diri dia amat rendah, mencampuri urusan parti UMNO sedangkan beliau bukan ahli UMNO dan terlucut keahlian selepas meruntuhkan kerajaan pimpinan UMNO pada 4 Oktober lepas,” katanya lagi.

Selain Idris yang merupakan ADUN Sungai Udang, tiga ADUN lain yang turut mengumumkan menarik sokongan terhadap KM Datuk Seri Sulaiman Md Ali ialah ADUN Pantai Kundor (UMNO), Datuk Nor Azman Hassan; Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Susulan tindakan tersebut, Idris dan Nor Azman digugurkan keahlian UMNO serta-merta oleh parti tersebut.

Semasa mesyuarat cawangan tersebut berlangsung, Ali juga mendedahkan berlaku pergaduhan antara Idris dan Setiausaha UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Abdul Latip Mohamad.

“Saya diberi taklimat, ada sedikit pergelutan antara Datuk Seri Idris dan Setiausaha UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Abdul Latip Mohamad apabila dia nak merampas telefon bimbit Setiausaha Bahagian yang menjadi pemerhati untuk bahagian,” ujarnya lagi.

Tiada ulasan: