HALAMAN SANTAI

Rabu, 24 November 2021

ADUN DAP kekal pendirian desak Anwar berundur


Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP, Lee Chin Chen mempertahankan pendiriannya sebelum ini mendesak pengunduran Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada mengetuai Pakatan Harapan (PH).

ADUN Bilut itu tidak akan menarik kenyataan yang mahu Anwar digantikan dengan pemimpin lain, malah enggan menghiraukan paksaan pemimpin PKR khususnya pengikut fanatik Anwar yang mendesaknya menarik balik kenyataan sebelum ini.

Chin Chen sebelum ini berkata PH perlu mencari pengganti baharu dan bukan bergantung semata-mata kepada Anwar yang dilihatnya gagal dalam memimpin blok pembangkang itu dengan baik selepas kekalahan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Izinkan saya menjelaskan hujah saya secara jelas terlebih dulu: Saya berharap Anwar akan melepaskan baton kepimpinan, berada di belakang kepimpinan dan membantu pengganti generasi baru mencapai tahap yang baru.

“Saya menyeru Anwar berundur sebagai Ketua Pembangkang supaya PH boleh memilih pengganti baru. Marilah kita meneroka hala tuju dan konsensus baru kita serta menentang konservatif agama dalam pakatan sayap kanan Melayu,” katanya.

Pendirian itu menimbulkan amarah pemimpin PKR, terbaharu Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Pahang, Fuziah Salleh membidas Chin Chen kerana tidak menghiraukan notis 24 jam supaya menarik balik kenyataannya itu.

“Kami memberi notis 24 jam untuk YB Bilut menarik balik kenyataannya. Tetapi dia enggan.

“Pihak MPN PKR Pahang tidak berminat untuk menjawab kenyataan pramatang ADUN Bilut tersebut kerana menonjolkan tahap pemikiran politik beliau yang kelihatan cetek dan tidak setara dengan kedudukan beliau sebagai ketua pembangkang di DUN Pahang,” kata Fuziah dipetik laporan media hari ini.

PRN Melaka menyaksikan Barisan Nasional (BN) mencapai kemenangan besar dengan memenangi 21 kerusi dan memperoleh majoriti dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

PH hanya berjaya memenangi lima kerusi, manakala PKR tewas di semua kerusi ditandinginya.

Keputusan Anwar yang berdegil mahu meletak calon ‘katak berprinsip’ dalam PRN Melaka mendapat tentangan DAP namun beliau tidak menghiraukan dengan meneruskan juga rancangannya itu.

Tiada ulasan: