HALAMAN SANTAI

Khamis, 25 November 2021

BERJASA syor tangguh dulu PRN Sarawak hingga Julai 2022

 Athirah Huda Zalhe

Bimbang sejarah PRN Sabah berulang, kes jangkitan naik mendadak

BANGI – Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak perlu ditangguhkan sekurang-kurangnya sehingga Julai tahun depan, dengan analisa risiko yang terperinci bagi mengelakkan berlaku peningkatan mendadak kes jangkitan COVID-19.

Pemerhati politik, Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim berkata, langkah itu perlu susulan mengambil kira sejarah PRN Sabah sebelum ini, yang telah menyebabkan peningkatan kes mendadak pada tahun 2020.

Atas sebab itu, beliau bimbang sekiranya PRN Sarawak kekal diteruskan dalam masa terdekat, kesan yang sama seperti tahun lalu berkemungkinan berulang apatah lagi terdapat tanda awal peningkatan kes COVID-19 pasca PRN di Melaka.

“Meskipun masih terlalu awal untuk melihat akibat PRN Melaka, namun terdapat tanda-tanda awal peningkatan kes COVID-19 di Melaka.

“Justeru, saya mencadangkan PRN Sarawak ditangguhkan sekurang-kurangnya sehingga Julai 2022 dengan analisa risiko yang terperinci,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa institusi istana dan pemimpin negara mempertimbangkan pelaksanaan pilihan raya itu dan mengutamakan kesihatan serta keselamatan rakyat.

“Bukan seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadi dalang kepada PRN Melaka. Setelah kalah teruk kini bising pula mendesak supaya SOP PRN Sarawak dilonggarkan.

“Ini amat penting sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengekang pandemik COVID-19 yang masih belum reda sepenuhnya,” katanya.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN Sarawak ke-12 pada 18 Disember dengan 6 Disember untuk penamaan calon dan 14 Disember sebagai hari pengundian awal.

PRN negeri itu tidak dapat diadakan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) berakhir pada 6 Jun lalu berikutan pengisytiharan darurat di seluruh negara.

Tempoh darurat bagaimanapun ditarik balik pada 3 November oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang sekali gus membolehkan PRN Sarawak diadakan.

Tiada ulasan: