HALAMAN SANTAI

Khamis, 25 November 2021

Kes pecah amanah Syed Saddiq dipindah ke Mahkamah Tinggi


Perbicaraan empat kes dihadapi Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkaitan pecah amanah, salah guna wang sumbangan dan pengubahan wang haram akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Mahkamah membenarkan permohonan Ahli Parlimen Muar selepas mendapati kemungkinan besar terdapat persoalan undang-undang luar biasa yang akan timbul.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan berkata, jadi ia adalah wajar untuk keadilan semua pihak supaya kes itu dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

“Oleh itu, permohonan ini dibenarkan,” katanya selepas mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharudin Wan Ladinbagi pihak pendakwaan dan peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Syed Saddiq.

Pada 19 Ogos lalu, bekas Menteri Belia dan Sukan itu memohon kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini, atas alasan terdapat isu Perlembagaan yang akan dibangkitkan dalam kes itu dan lebih wajar dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Beliau turut memohon semua prosiding kes itu di Mahkamah Sesyen ditangguhkan sementara menunggu keputusan permohonannya.

Bagi pertuduhan pertama di Mahkamah Sesyen di sini, Syed Saddiq didakwa sebagai Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu yang diamanahkan penguasaan ke atas dana Armada, melakukan pecah amanah ke atas dana itu, dengan membuat pengeluaran wang berjumlah RM1 juta melalui cek CIMB Bank Berhad, tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2, di sini, pada 6 Mac 2020, mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Syed Saddiq juga menghadapi pertuduhan menyalahgunakan harta iaitu wang sumbangan untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sebanyak RM120,000 yang dikutip melalui akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Maybank Islamic Berhad, Taman Pandan Jaya, di sini, antara 8 April hingga 21 April 2018, mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun dengan sebatan dan boleh didenda.

Pada 5 Ogos lalu, di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Syed Saddiq didakwa atas dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) miliknya, yang juga hasil daripada aktiviti haram.

Tiada ulasan: