HALAMAN SANTAI

Selasa, 23 November 2021

Rauf nafi terkilan tak dilantik KM Melaka, dakwa sokong Sulaiman


Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang sebelum ini dikatakan bakal dilantik sebagai Ketua Menteri (KM) Melaka yang baharu, menolak dakwaan bahawa UMNO Bahagian Masjid Tanah yang diketuainya, mendalangi penyebaran surat yang menolak Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai KM.

Beliau mengulas surat dikatakan dikeluarkan oleh Ketua Penerangan UMNO Bahagian Masjid Tanah bertarikh semalam, yang menolak pencalonan Sulaiman sebagai KM Melaka, setelah Barisan Nasional (BN) menang Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15), kelmarin.

Umum mengetahui sejak Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu, muncul khabar angin mengatakan Ab Rauf bakal dilantik KM Melaka yang baharu jika beliau menang di kawasan ditandinginya dan BN berjaya menawan negeri itu.

Pada PRN Sabtu lalu, Ab Rauf menang di kerusi Tanjung Bidara, manakala BN pula menguasai 21 daripada 28 kerusi DUN.

Namun, beberapa jam kemudian Sulaiman tergesa-gesa bertemu Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam, untuk mengangkat sumpah KM kira-kira jam 1 pagi. Berita berkaitan

Kenyataan dikeluarkan menggunakan kepala surat UMNO Bahagian Masjid Tanah itu bertajuk ‘Menolak Pencalonan Datuk Seri Sulaiman Md Ali Sebagai Ketua Menteri Yang Ke-13 Yang Baru’, tular di media sosial sejak pagi tadi, sekali gus menunjukkan seolah-olah berlaku perebutan jawatan KM Melaka.

Surat itu mendedahkan mengikut persetujuan dan perjanjian bersama ketika kehadiran Datuk Seri Najib Razak ke Melaka sebelum hari penamaan calon, telah bersetuju untuk melantik Ab Rauf sebagai KM Melaka yang baharu jika BN dan Rauf menang.

“Persetujuan dan perjanjian ini juga turut dipersetujui oleh ADUN dari Kuala Linggi, Ayer Limau, Taboh Naning, Rembia, Gadek, Asahan, Rim, Serkam, Merlimau, dan Sungai Rambai,” kata kenyataan dalam surat itu.

Kenyataan itu juga mendakwa UMNO Bahagian Masjid Tanah terkilan dengan tindakan tergesa-gesa Sulaiman yang terus mengangkat sumpah sebagai KM Melaka tanpa ada perbincangan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari BN yang menang PRN kali ini.

Malah kenyataan itu juga mendakwa tindakan Sulaiman mengangkat sumpah jawatan KM secara tergesa-gesa didalangi oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang dikatakan sentiasa berada di belakang ADUN Lendu.

Memetik laporan BHOnline, Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, menafikan pernah mengeluarkan kenyataan yang menolak pelantikan Sulaiman.

Beliau menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu dan menyifatkan tindakan menyebarkan kenyataan palsu itu sebagai fitnah pihak tidak bertanggungjawab itu memburukkan imej kepemimpinan UMNO bahagian berkenaan.

“Itu palsu, fake dan fitnah. Semalam saya sudah menyatakan sokongan kepada Sulaiman sebagai Ketua Menteri Melaka menerusi sidang media, itu sudah jelas,” katanya.

Tiada ulasan: