HALAMAN SANTAI

Rabu, 24 November 2021

Saya ada masalah dengan manusia berlagak besar, kata Ketua Pemuda PAS

 

Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari menjelaskan mempunyai masalah dengan individu yang berlagak besar dan suka memesongkan fakta tetapi menegaskan tidak memusuhi UMNO mahupun kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN).

Kenyataan terbaharu Ahmad Fadhli itu hadir ketika ditengah-tengah kontroversi perang mulut dengan Ketua Pemuda UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang berbalas kritikan antara satu sama lain selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Sabtu lalu.

“Manusia seperti ini hanyalah dedalu politik, datangnya langsung tiada faedah, bahkan menambah toksik untuk memastikan dirinya besar dan segar.

“Saya bukan anti kepada parti tertentu, namun ya, saya sangat anti kepada manusia seperti ini,” katanya dalam kenyataan menerusi hantaran Facebook hari ini.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu menyifatkan kenyataan yang agak keras dilempar terhadap Asyraf itu tidak bermakna beliau seorang yang anti kepada UMNO.

“Ada yang menyebut bahawa saya anti-MN, anti-Umno, saya fikir ini kenyataan yang agak tersasar. Saya tidak anti-Umno, jauh sekali anti-Muafakat Nasional.

“Hubungan saya dengan pemimpin-pemimpin Umno khususnya di parlimen sangat baik, tiada masalah.

“Bahkan dalam perbahasan di parlimen, saya memberikan sokongan kepada sahabat-sahabat dari Umno,” katanya lagi.

Terdahulu, Ahmad Fadhli menasihatkan Asyraf supaya menjaga taraf dengan melakukan sedikit kajian sebelum memberi sebarang ulasan, kerana beliau tidak pernah menyebut perkataan ‘gugat’ dalam kenyataannya semalam.

“Buat kerja rumah sikit ye, jaga taraf kita tu. Ops maaf, dua kali bertanding pilihanraya dua kali kalah, what do you expect.

“Tidak ada pun dalam kenyataan saya yang PAS mahu gugat kubu BN. Bacalah betul-betuk sebelum buat komen tu, anda kan Ketua Pergerakan Pemuda,” kata Ahmad Fadhli.

Asyraf pula menyifatkan Ahmad Fadhli seorang yang angkuh kerana mengeluarkan kenyataan mengatakan PAS mahu menggugat kubu Barisan Nasional (BN) dalam satu kenyataan berhubung keputusan PRN Melaka.

Sementara itu, Ahmad Fadhli menjelaskan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang sering berpesan supaya tidak memutuskan hubungan dengan MN dan berusaha agar Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti tiada pertembungan tiga penjuru.

Tiada ulasan: