HALAMAN SANTAI

Rabu, 24 November 2021

Sekarang puas hati Anwar lihat UMNO kembali kuat?


Adakah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah berpuas hati dapat melihat UMNO kembali menjadi kuat selepas berpakat dengan anak muridnya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjatuhkan Tan Sri Muhyiddin Yassin?

Selepas menjadi dominan di Putrajaya, ramalan UMNO akan kembali kuat dan menjadi lebih sombong terbukti tepat dan sebenarnya situasi tersebut boleh dielak jika Anwar tidak kemaruk kuasa berpakat dengan Zahid sehingga terjatuhnya kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan memberi laluan UMNO kembali menjadi dominan di Putrajaya.

Malah, UMNO kini boleh buat sesuka hati tanpa perlu rasa bimbang dan sekalipun pilihan raya umum (PRU) diadakan dalam masa terdekat mereka sudah bersedia kerana yakin sokongan rakyat yang memihak kepada mereka.

Kenyataan secara terbuka pemimpin atasan UMNO selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang meminta PRU diadakan adalah isyarat awal tekanan akan diberikan kepada Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Seri Ismail Sabri supaya mengikut arahan apabila tiba masanya untuk membubarkan Parlimen.

Ismail Sabri mahu tidak mahu perlu mengikut hala tuju dan keputusan parti apabila tiba masanya diarahkan untuk membubarkan Parlimen kerana Presiden mempunyai kuasa mutlak, malah ia akan mengundang risiko sekiranya kehendak Zahid tidak diikuti watikah calon tidak akan ditandatangani.

Kuasa Zahid menandatangani watikah pencalonan sebenarnya adalah senjata yang akan digunakan untuk menggugut Ismail Sabri sekiranya tidak mengikut arahan parti, malah pemimpin UMNO sebelum ini yang lantang mengkritik Presiden juga berisiko menerima nasib sama.

Walaupun mempunyai kuasa selaku PM, kuasa Ismail Sabri dalam parti sebenarnya terbatas.

Persepsi umum kini adalah Anwar dan Pakatan Harapan (PH) menjadi punca utama UMNO kembali dominan menguasai tampuk pemerintahan semula, hasilnya UMNO semakin kuat dan keputusan PRN Melaka adalah buktinya.

Krisis politik berterusan yang dihadapi rakyat kini juga tidak boleh dinafikan adalah kerana tindak-tanduk Anwar yang sanggup memperalatkan UMNO demi cita-cita peribadinya untuk menjadi PM.

Bagaimanapun, implikasi lebih teruk dihadapi Anwar dan PH kini apabila sudah jelas penolakkan rakyat terhadap mereka, lihat sahaja keputusan PRN Melaka apabila banyak undi mereka hilang khususnya dikalangan pengundi orang Melayu yang berpindah menyokong PN.

Ia adalah mesej yang nyata kepada PH, bahawa tindak-tanduk berkomplot dengan UMNO menjatuhkan Muhyiddin tidak diterima rakyat terutamanya dikalangan orang Melayu dan ditunjukkan dalam peti undi semasa PRN Melaka.

Imej Anwar yang rakus merebut kuasa bermula dengan komplot bersama-sama Zahid dan Najib, surat yang dihantar ke Istana Negara dan klip audio tular sebelum ini antara bukti wujud pakatan sulit tersebut tetapi cuba dinafikan kedua-dua mereka.

Tidak perlu pergi jauh, lihat sahaja kemelut politik di Melaka. Watak utama yang memainkan peranan juga Anwar, ia terbukti apabila sanggup mengambil dua bekas pemimpin UMNO yang menjatuhkan kerajaan sebagai calon mereka, malah mempertahankan mereka sebagai ‘katak berprinsip’.

Akhirnya, ‘katak berprinsip’ juga tumbang dalam PRN Melaka dan lebih parah lagi apabila PH semakin terhakis sokongan rakyat yang sudah bertukar kepada PN, ia terbukti juga dalam PRN apabila pengundi yang menyokong calon PH berkurangan sehingga menyebabkan gagal mempertahankan kerusi dimenangi sebelum ini.

Satu demi satu strategi Anwar tidak menjadi tetapi yang paling banyak mendapat manfaat daripada kebodohannya tersebut adalah UMNO, atau adakah Anwar masih dalam sindrom penafian?

Selepas PRN Melaka, akhirnya DAP sudah semakin bijak menilai keadaan dan tidak lagi mudah terpesona dengan janji manis Anwar. Kecaman demi kecaman dihambur kepada Pengerusi PH tersebut yang dianggap sebagai punca rakyat semakin menjauhi mereka, lebih teruk lagi kerusi yang dimenangi oleh DAP sebelum ini tidak lagi boleh dianggap selamat.

Bukan sahaja pengundi Melayu yang sudah tidak mempercayai PH, sekarang ini juga sudah semakin jelas pengundi Cina dan India yang dahulu menjadi deposit tetap kepada pembangkang juga sudah semakin meningkat dan ia cukup untuk menghukum DAP yang bakal kehilangan banyak lagi kerusi selepas ini.

Sebelum terlambat dan nasi menjadi bubur, langkah drastik perlu diambil dan perlu bermula dengan merehatkan Anwar dengan digantikanpemimpin yang lebih baik.

Bagaimanapun, Parti Amanah adalah halangan besar yang perlu dihadapi DAP jika mahu menyingkirkan Anwar kerana pengikut fanatiknya seperti Mohamad Sabu dan Khalid Samad pasti bermati-matian akan mempertahankan pemimpin kesayangan mereka itu.

Kesilapan Anwar adalah apabila membenarkan UMNO kembali menjadi dominan selepas terpengaruh dengan janji anak muridnya, Zahid semasa langkah menjatuhkan Muhyiddin.

Bagi Anwar, rakyat mungkin sudah melupakan peranannya dalam bersekongkol dengan Zahid, tetapi untuk memadamkan sejarah dan bukti tidaklah semudah itu.

Keputusan PRN Melaka adalah mesej jelas rakyat kepada Anwar dan PH, jika sebelum ini mereka memberi alasan untuk menjatuhkan kerajaan PN kerana kehendak rakyat dan mungkin keputusan PRN Melaka pula boleh dikatakan sebagai referendum rakyat menolak Anwar dan PH.

Sudahlah blok pembangkang pun berpecah dan gesaan untuk duduk bawah payung besar juga tidak diendahkan, Anwar dilihat menjadi liabiliti yang mudah dipergunakan sesiapa sahaja dan tidak berprinsip sehingga menghakis hampir keseluruhan kepercayaan rakyat terhadap PH kini.

Tiada ulasan: