Kerajaan Selangor akan kaji semula perjanjian air Sg Sireh dengan Puncak Niaga
SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor akan mengkaji semula perjanjian antara kerajaan negeri dan Puncak Niaga Holdings Bhd bagi pengumpulan air mentah di Sg Sireh, yang ditandatangani pada 7 Mac, sehari sebelum pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-12 baru-baru ini.
Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau telah meminta Penasihat Undang-Undang Negeri menulis surat kepada Puncak Niaga supaya membatalkan status rahsia perjanjian itu.
Mengikut kiraannya, katanya terdapat ketidakseimbangan dari hasil yang diberi kepada negeri dan rakyat dan ia boleh memperkayakan pihak yang mendapat kontrak, iaitu Puncak Niaga.
Beliau berkata demikian kepada wartawan di kediaman rasminya di Bukit Malawati di sini pada hari Isnin.
Beliau mengulas mengenai laporan akhbar sebelum ini yang memetik kenyataan Bursa Malaysia mengenai satu perjanjian telah ditandatangani antara kerajaan negeri dan Puncak Niaga untuk mengendalikan, mengurus dan menyelenggara loji penapisan dan pengumpulan air mentah di Sg Sireh, Tanjung Karang sehari sebelum pengundian bagi pilihan raya umum ke-12 pada 8 Mac lepas.
Mengenai pelaksanaan bekalan air percuma kepada rakyat Selangor, katanya ia boleh dilaksanakan dengan mengurangkan kos seunit air (yang lazimnya disukat mengikut ukuran meter padu) dan pada masa yang sama mengekalkan harga yang dikenakan kepada pengguna.
Lebihan pendapatan hasil pengurangan kos seunit air itu akan diagihkan kembali kepada para pengguna, katanya.
Semalam, di Bandar Tasik Selatan Kuala Lumpur, Abdul Khalid berkata beliau akan berbincang dengan barisan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang akan mengangkat sumpah Sabtu ini terlebih dahulu mengenai pelaksanaan bekalan air percuma itu.
Kerajaan Selangor yang baru telah mencadangkan bekalan air secara percuma bagi warga negeri itu sehingga 20 meter padu sebulan mulai bulan hadapan.
Satu laporan akhbar tempatan hari ini menyebut 20 meter padu penggunaan air untuk kegunaan rumah atau domestik sebulan bernilai RM11.40, manakala di Selangor terdapat hampir satu juta pengguna domestik dan ini bermakna hampir RM11.4 juta kutipan air sebulan akan dikecualikan. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan