Pengundi hantu masih menghantui
Kuala Lumpur - Semalam Setiausaha Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) akhirnya mengakui terdapat 8,666 orang yang berumur lebih dari 100 tahun dalam daftar pengundi. Kebanyakan mereka dipercayai sudah meninggal dunia.
“Adalah tanggungjawab SPR untuk menyemak dengan Jabatan Pendaftaran dan memastikan nama mereka yang sudah mati dikeluarkan” kata Timbalan Presiden KeADILan Dr. Syed Husin Ali.
“SPR tidak ada alasan samasekali untuk menyatakan tidak sempat mengeluarkan nama mereka ini dari daftar pengundi. Perkara pengundi 100 tahun ke atas ini, yang sebenarnya sudah meninggal, telah ditimbulkan oleh keADILan berkali-kali sebelum dan semasa pilihanraya kecil Ijok lagi. Sekiranya SPR telus serta bertanggungjawab , mereka sepatutnya sudah lama membetulkan segala yang salah” tambah beliau.
KeADILan mendapat laporan daripada ramai sekali pengundi bahawa nama mereka telah dipindahkan ke tempat lain di merata Semenanjung, termasuk Sabah dan Sarawak, walaupun mereka masih tinggal dalam kawaan Kuala Lumpur dan Selangor dan mengundi dekat dengan rumah kediaman mereka dalam pilihanraya lalu.
“Pengundi lebih 100 tahun dan mereka yang dipindah ke tempat lain dan tidak boleh atau tidak mampu ke sana untuk mengundi, dengan mudah saja boleh diambil tempat mereka oleh pengundi hantu.
“SPR mengetahui tentang hal ini sebab berkali-kali telah dibangkitkan sebelum, semasa dan selepas Ijok oleh keADILan serta parti-parti lain dan juga oleh Bersih. Akan tetapi SPR membiarkannya saja, mungkin kerana hendak memberi peluang kepada Umno-Bn mengambil kesempatan.” kata Dr. Syed.
Mengikut beliau, KeADILan mendapat khabar tidak kurang dari 40,000 orang pengundi hantu akan ke Kelantan dari merata tempat di Semenanjung dan juga Selatan Thai.
“Adakah SPR sudah bersedia untuk membuka ruang, dalam daftar undi yang digunakannya sendiri, untuk memberi peluang kepada mereka ini mengundi sebagai pengundi hantu? Kami mendesak supaya SPR memastikan undi-undi hantu ini tidak akan dibenarkan menjalankan kerja haram mereka.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan