Radzi letak jawatan Setiausaha Agung Umno dan BN
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad yang digugurkan dari barisan kabinet yang baru dibentuk mengambil keputusan meletak jawatan sebagai Setiausaha Agung Umno dan Barisan Nasional (BN) berkuatkuasa hari ini.
Bekas Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri itu berkata beliau tidak dapat bekerja secara efektif sebagai Setiausaha Agung kerana tidak lagi berada dalam kabinet baru yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam.
"Saya rasa saya tidak boleh lagi bekerja. Pertamnya saya tidak lagi berada dalam kabinet jadi saya tidak boleh bekerja dengan berkesan sebagai Setiausaha Agung ... saya tak boleh kerja," katanya dalam sidang akhbar di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.
Radzi berkata keputusannya itu telah dimaklumkan kepada Abdullah yang juga Presiden Umno dan Pengerusi BN melalui telefon pagi ini dan menerusi sepucuk surat rasmi.
Perdana Menteri telah menerima perletakan jawatan beliau, katanya.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada Abdullah kerana telah memberinya peluang berkhidmat kepada parti sebagai Setiausaha Agung selama empat tahun.
"Saya harap Umno terus maju di bawah kepimpinan presiden parti. Saya akan terus memberi bantuan dalam apa cara sekali pun," katanya.
Radzi menewaskan Tunku Abdul Rahman Tunku Ismail dari Parti Keadilan Rakyat di kawasan Parlimen Kangar dengan majoriti 13,671 undi pada pilihan raya umum 8 Mac lepas.
Beliau bagaimanapun menolak anggapan bahawa keputusannya itu dibuat setelah kecewa kerana tidak dipilih menganggotai semula kabinet.
"Dalam politik sentiasa ada orang mengambil alih. Tiada siapa yang kekal," katanya.
Beliau juga menafikan bahawa peletakan jawatan itu mempunyai hubung kait dengan kemelut Umno di Perlis yang turut menyaksikan Datuk Seri Shahidan Kassim tidak dilantik semula sebagai Menteri Besar.
"I dont think so... I am happy with the leadership in Perlis," katanya.
Menyifatkan empat tahun pengalaman sebagai setiausaha agung parti sebagai "wonderful experience", Radzi berkata beliau ada menerima tekanan, bagaimanapun itu merupakan perkara biasa dalam politik.
Radzi berkata beliau telah melaksanakan tugasnya dengan sebaik mungkin sejak dilantik sebagai setiausaha agung Umno dan BN pada 1 Jun 2004, antaranya, menambah keahlian Umno dan memperkenalkan kad keahlian parti.
Ditanya mengenai penggantinya, Radzi berkata ia akan diputuskan Abdullah.
Mengenai perancangannya selepas ini, Radzi yang menyertai Umno sejak 1973 berkata beliau akan menumpukan kepada tugasnya sebagai anggota parlimen Kangar selain membimbing wakil rakyat muda di kawasan itu.
Beliau juga meminta anggota parti menerima keputusannya meletak jawatan dengan hati terbuka dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan parti.
"Please do not think that there is split in Umno," katanya sambil mengulangi pendiriannya bahawa pilihan raya 8 Mac yang lepas merupakan penggal terakhir beliau menjadi wakil rakyat. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan