HALAMAN SANTAI

Rabu, 19 Mac 2008

Rafidah kesal dan kecewa, tetapi tidak letak jawatan
Oleh SA'ODAH ELIAS


KUALA LUMPUR: "Saya dipilih oleh 1.3 juta Wanita Umno, dan menang tanpa bertanding. Kalau saya dilantik, saya pun akan letak jawatan," demikian jawapan yang diberikan Ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Seri Rafidah Aziz mengulas perletakan jawatan bekas setiausaha agung Umno dan Barisan Nasional Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad pada pagi Rabu.

Radzi dan Rafidah adalah antara tujuh menteri yang menang pada pilihan raya umum 8 Mac lalu yang digugurkan daripada barisan Kabinet baru Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang diumumkan Selasa.

Rafidah yang dikenali ramai sebagai seorang yang berterus terang bagaimanapun berkata, beliau mengambil keputusan akan terus memikul amanah yang diberikan kepadanya oleh ahli-ahli Wanita Umno walaupun berasa kesal Abdullah tidak memberikan sebarang isyarat awal beliau akan digugurkan.

Beliau juga terkilan dan sedih kerana inilah kali pertama dalam sejarah negara wanita Umno tidak mempunyai wakil dalam Kabinet.

"Saya agak terkejut. Sepatutnya Pak Lah beritahu saya dari awal jangan bertanding. Jika beliau beritahu saya jangan bertanding, saya tahulah saya tidak ada tempat dalam Kabinet dan tidak payahlah saya susah-susah.

"Tetapi beliau tidak beritahu. Saya hanya seorang manusia, jadi bila dia tidak beritahu jangan bertanding, saya tidaklah menjangka saya akan digugurkan," tambahnya pada sidang media yang padat dihadiri oleh wartawan tempatan dan asing di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Rabu.

Rafidah yang mempertahankan kerusi Kuala Kangsarnya adalah antara tiga ahli Parlimen wanita Umno yang menang pada pilihan raya baru-baru ini.

Rafidah yang menjadi Menteri di kementerian itu selama 22 tahun sebelum itu mengemaskan barang-barangnya bagi membolehkan pejabatnya diambil alih oleh penjawat baru Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Rafidah, Abdullah memberitahunya melalui panggilan telefon bahawa beliau digugurkan daripada senarai Kabinet pada kira-kira jam 9 pagi Selasa, beberapa jam sebelum pengumuman senarai Kabinet baru dibuat.

"Saya tanya kenapa, dia kata dia mahu orang baru, itu sahaja. Saya terima dengan hati terbuka dan saya bersyukur kerana telah dapat memberikan khidmat saya kepada negara selama ini.

"Saya bersedia untuk bersara, jadi apabila dia beritahu saya, saya kata tidak apalah," katanya sambil menambah beliau tidak pula bertanya sama ada wakil Wanita Umno lain akan dipilih menggantikannya kerana itu adalah hak Perdana Menteri.

Bagaimanapun, katanya, beliau serta keseluruhan kepimpinan Wanita Umno terkejut dan kecewa apabila senarai penuh dikeluarkan, didapati memang tidak ada wakil wanita di dalam jemaah menteri.

"Tidak pernah mereka tengok senario ketua mereka tidak ada dalam kabinet.

Tengok-tengok Wanita MCA pula dapat, jadi terbaliklah cerita. Wanita MCA ada dalam kabinet tapi Wanita Umno tidaka ada. Saya tidak suka cakap pasal ini kerana ia melibatkan diri saya," katanya.

Ketua Wanita MCA Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dilantik Abdullah menjadi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Ditanya sama ada Wanita Umno akan membuat bantahan rasmi mengenai isu itu Rafidah berkata: "Tidak payah bantah. Nanti orang kata saya yang hendakkan kedudukan, malulah."

Ditanya sama ada beliau sakit hati kerana terkeluar daripada Kabinet Rafidah pantas menjawab: "Saya orang jenis tidak menyimpan dalam hati. Ini kurniaan Allah pada saya. Orang boleh buat apa sahaja pada saya dan saya akan anggap ia sebagai dugaan Allah. Inilah politk."

Katanya, beliau juga tidak ada masa untuk merajuk. "Dengan suami pun tidak merajuk, ini kan pula politik," tambahnya.

Rafidah berkata, beliau memanggil sidang akhbar berkenaan bagi menjelaskan kedudukan sebenar mengenai penggugurannya bagi membetulkan cakap-cakap bahawa beliau akan bertindak meletak jawatan.

Ditanya sama ada penggugurannya itu ada kaitan dengan kandungan surat yang dikatakan mengandungi 17 perkara yang dihantarnya kepada Abdullah mengenai pencapaian BN yang tidak memberangsangkan pada pilihan raya ke-12 dahulu, Rafidah enggan mengulas.

"Semua surat yang saya tulis kepada sesiapa pun, adalah perbualan sulit antara saya dengan penerima. Tiada sesiapa pun yang patut mendedahkan kandungan surat saya kepada umum, ia tidak beretika. Jika saya mahu umum tahu kandungan surat itu, saya sudah tulis surat terbuka.

"Saya pernah menulis berdozen-dozen surat kepada Mahathir (bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad) sebelum ini, kerana itulah cara saya. Ia berterus terang dan tidak emosional," katanya.

Rafidah berkata, selain menumpukan kepada membantu mengukuhkan semula parti, beliau gembira kerana dengan persaraannya itu beliau kini dapat meluangkan lebih banyak masa untuk anak-anak serta cucu-cucunya.

"Cucu-cucu saya sangat gembira dengan persaraan saya kerana mereka kini mendapat semula nenek mereka," katanya.

Selain wartawan, dewan di tingkat 16 MITI di mana sidang media itu berlangsung penuh sesak dengan lebih separuh anggota Exco Wanita Umno yang hadir bagi memberikan sokongan moral kepada Rafidah serta pegawai-pegawai tinggi kementerian.

Bagaimanapun timbalan beliau Datuk Seri Shahrizat Jalil tidak hadir dan apabila ditanya mengenai ketiadaan Shahrizat Rafidah berkata, beliau tidak mengeluarkan jemputan kepada sesiapa melainkan media.

"Mereka yang datang sendiri, saya tidak panggil," katanya.

Menurut Rafidah beliau juga tidak diberitahu mengenai pelantikan Shahrizat sebagai penasihat bertaraf menteri kepada Perdana Menteri bagi hal ehwal Wanita sehingga membacanya di dalam akhbar.

Beliau yang kelihatan agak ceria sepanjang sidang media diadakan sehingga kadang-kala berjenaka dengan beberapa wartawan yang telah lama membuat lipuatan mengenai kegiatan dan kementerian beliau bagaimanapun kelihatan menitiskan air mata apabila dikerumuni pegawai-pegawai MITI.

"Saya memang tidak menangis sejak mendapat berita itu, melainkan apabila bersalaman dengan bekas pegawai-pegawai saya dan kementerian. Mereka adalah keluarga kedua saya," kata Rafidah apabila ditemui selepas sidang akhbar itu.

Tiada ulasan: