HALAMAN SANTAI

Sabtu, 1 Mac 2008

SPR dibidas, lebih 8,600 pengundi berusia 100 tahun!
Azamin Amin



KUALA LUMPUR (Hrkh) - Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) tidak mempunyai alasan sama sekali untuk menyatakan tidak sempat mengeluarkan nama 8,666 pengundi berusia lebih 100 tahun dari daftar pengundi yang sebenarnya sudah meninggal.

Timbalan Presiden KeADILan Dr Syed Husin Ali berkata perkara tersebut telah ditimbulkan oleh KeADILan berkali-kali sebelum dan semasa pilihanraya kecil Ijok lagi.

"Sekiranya SPR telus serta bertanggungjawab, mereka sepatutnya sudah lama membetulkan segala yang salah.

"Kami mendapat laporan daripada ramai sekali pengundi bahawa nama mereka telah dipindahkan ke tempat lain di merata Semenanjung, termasuk Sabah dan Sarawak, walaupun mereka masih tinggal dalam kawaan Kuala Lumpur dan Selangor," katanya

Malah Syed Husin menjelaskan pengundi lebih 100 tahun dan mereka yang dipindah ke tempat lain dan tidak boleh atau tidak mampu ke sana untuk mengundi, dengan mudah saja boleh diambil tempat mereka oleh pengundi hantu.

"SPR mengetahui tentang hal ini sebab berkali-kali telah dibangkitkan sebelum,semasa dan selepas Ijok oleh KeADILan serta parti-parti lain dan juga oleh Bersih.

"Akan tetapi SPR membiarkannya saja, mungkin kerana hendak memberi peluang kepada Umno-Bn mengambil kesempatan," katanya dalam satu kenyataan media membidas sikap SPR.

Beliau turut mendakwa mendapat laporan bahawa tidak kurang dari 40,000 orang pengundi hantu akan ke Kelantan dari merata tempat di Semenanjung dan juga Selatan Thai dan menggesa SPR memastikan undi-undi hantu ini tidak akan dibenarkan menjalankan 'kerja haram' mereka.

Semalam Setiausaha SPR, Datuk Kamaruzaman Mohd Noor mengesahkan terdapat 8,666 pengundi berusia 100 tahun ke atas tersenarai dalam Daftar Pemilih Induk (DPI) 2007 yang diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 5 Februari lalu dan akan diguna pakai pada Pilihan Raya Umum Ke-12.

Pengundi berkenaan paling ramai didaftarkan di Sabah iaitu 2,096 orang; diikuti Sarawak (1,458); Johor (976); Perak (959); Selangor (549); Pulau Pinang (442); Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (367), Kedah (356) dan Wilayah Persekutuan Labuan (46).

Tiada ulasan: