HALAMAN SANTAI

Jumaat, 14 Mac 2008

Surat setuju Mohammad Nizar sebagai MB ditandatangani


IPOH: Semua 31 anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak daripada DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS telah menandatangani surat persetujuan menubuhkan kerajaan campuran dan menerima pelantikan Adun Pasir Panjang Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak Asmuni Awi berkata surat berkenaan telah diserahkan kepada Setiausaha Sulit Sultan Perak Datuk Abdul Rahim Mohamad Nor kira-kira pukul 10 malam Khamis.

"Selepas wakil ketiga-tiga parti dipanggil mengadap Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah di Istana Kinta pada 2 petang Khamis, kita telah menandatangani dan menyerahkan surat yang dititahkan itu," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, Jumaat.

Surat persetujuan berkenaan perlu dipersembahkan kepada baginda dengan menyatakan persetujuan bekerjasama dalam kerajaan campuran serta persetujuan sebulat suara menerima Setiausaha Badan Perhubungan PAS Perak Mohammad Nizar, 51, sebagai Menteri Besar ke-10.

Khamis lalu, istiadat angkat sumpah jawatan Menteri Besar yang dijadualkan berlangsung di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada 4 petang ditangguhkan selepas ketiga-tiga parti dikatakan berbalah berhubung pengagihan kerusi exco kerajaan campuran yang akan dibentuk.

Istana Kinta di sini dalam kenyataan yang difakskan kepada Bernama pada hari Khamis, memaklumkan bahawa penangguhan itu dibuat berdasarkan perkembangan terkini yang menunjukkan DAP, PKR dan PAS, tidak mencapai kata sepakat yang ketara dalam penubuhan kerajaan campuran.

Istana Kinta dalam kenyataan yang ditandatangani oleh Abdul Rahim bagaimanapun tidak menyatakan tarikh baru istiadat itu akan dilangsungkan tetapi sumber menyatakan istiadat itu mungkin diadakan Isnin ini.

Khamis lalu, PKR yang kecewa dan mengancam keluar daripada kerajaan campuran Perak kerana tidak bersetuju dengan pembahagian kerusi exco kerajaan negeri telah mendapat tiga jawatan exco berbanding satu yang diagihkan kepadanya dalam satu mesyuarat ketiga-tiga parti itu malam Khamis.

DAP pula mendapat enam kerusi exco berbanding lapan daripada peruntukan awal manakala PAS pula kekal satu kerusi exco selain jawatan Menteri Besar.

Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali dilaporkan berkata persetujuan telah dicapai antara ketigatga parti itu berhubung pengagihan berkenaan malam Khamis dengan DAP mendapat enam kerusi exco, PKR tiga dan PAS satu, tidak termasuk jawatan Menteri Besar, di sini, Jumaat.

Sebelum ini, Penasihat DAP Lim Kit Siang mengarahkan semua 18 wakil rakyat DAP di Perak tidak menghadiri istiadat mengangkat sumpah itu kerana tidak bersetuju terhadap pemilihan wakil PAS sebagai Menteri Besar. Lim kemudiannya memohon maaf dan menarik balik kenyataan itu.

Isnin lepas, Sultan Perak telah pun memperkenankan permohonan ketiga-tiga parti membentuk kerajaan campuran serta berkenan memilih Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar selepas ketigatiga parti mengemukakan senarai calon terdiri daripada ADUN Sitiawan Ngeh Koo Ham (DAP), ADUN Behrang Jamaluddin Mohd Radzi (PKR) dan Mohammad Nizar.

Surat permohonan itu yang ditandatangani Ngeh selaku Pengerusi DAP Perak, Pesuruhjaya PAS Perak Ahmad Awang dan Pengerusi PKR Perak Zulkifly Ibrahim, disusuli dengan ikrar mereka untuk menerima keputusan yang dibuat oleh Sultan Perak memilih siapa sahaja sebagai Menteri Besar. BERNAMA

Tiada ulasan: