Khalid mahu dengar taklimat bagi nilai kedudukan Selangor
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau mahu mendengar taklimat daripada pegawai kewangan negeri serta setiausaha kerajaan negeri (SUK), Datuk Ramli Mahmud mengenai kedudukan ekonomi negeri itu.
"Saya akan menemui pegawai kewangan negeri serta SUK bagi memberi taklimat kepada saya mengenai status negeri... tunjukkan saya pelbagai perubahan dan pergerakan aset dari tempoh Januari hingga sekarang," katanya.
Langkah itu bertujuan mengelak sebarang tanggapan salah terhadap aktiviti-aktiviti negeri," katanya kepada pemberita selepas menemui pegawai dan kakitangan kerajaan negeri di sini, Jumaat.
Abdul Khalid yang mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar yang baru Khamis lalu, berkata gabungan kerajaan baru itu mahu memastikan status semasa negeri sebelum ia dapat membuat perancangan baru.
"Oleh itu, saya berharap tiada lagi cerita-cerita pasal fail sana, sini, susah saya nak buat kerja, kita tahu kita ada kumpulan profesional di sini, mereka akan buat kajian," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan mengenai usaha untuk membawa keluar fail dan cebisan dokumen penting dari bangunan kerajaan negeri susulan pilihan raya umum Sabtu lepas.
Ditanya mengenai tindakan yang akan diambil jika dakwaan itu benar, beliau berkata: "Ada pelbagai tindakan dan prosedur."
Abdul Khalid yang mula bertugas pada hari Jumaat, berkata beliau mahu meneliti struktur organisasi sistem pentadbiran negeri bagi memahami sepenuhnya operasi kerajaan negeri.
Berdasarkan pengalamannya sebagai ketua pegawai eksekutif Kumpulan Guthrie yang menggaji kira-kira 40,000 pekerja, Abdul Khalid berkata tidak sukar baginya mengetuai operasi pentadbiran negeri. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan