HALAMAN SANTAI

Isnin, 21 April 2008

Kenderaan tiada tali pinggang keledar belakang diberi masa tiga tahun


KUALA LUMPUR: Pemilik kenderaan yang tiada tali pinggang keledar bagi penumpang belakang kenderaan akan diberikan masa selama tiga tahun untuk memasang kelengkapan itu, kata Menteri Pengangkutan Datuk Ong Tee Keat.

Katanya walaupun pelaksanaan dasar amalan memakai tali pinggang keledar bagi penumpang belakang kenderaan akan berkuatkuasa Jun depan, dengan tempoh menyebarluaskan konsep pelaksanaan amalan itu adalah tiga bulan bermula Jun, tempoh pemasangan bagi kenderaan yang tiada kelengkapan itu diberikan sehingga tiga tahun akan datang.

Beliau berkata buat permulaan pelaksanaan dasar itu hanya terhad kepada kenderaan individu yang dikeluarkan selepas 1995 yang memang telah dipasang kelengkapan itu dan bagi kenderaan keluaran sebelum tahun itu digalakkan untuk memasang kelengkapan itu.
"Pelaksanaan ini kita akan buat secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun dan kita mahu orang ramai faham dan sedar tentang keselamatan diri melalui penggunaan tali pinggang bagi penumpang belakang.

"Bagi pemilik kereta keluaran selepas 1995, kalau dah ada tali pinggang, apa susahnya kalau kita pakai sahaja," katanya kepada pemberita selepas menghadiri upacara mengingati Kapitan Yap Ah Loy di sini hari ini.

Kapitan Yap Ah Loy yang juga dikenali Yap Tet Loy dan Yap Mao Lan adalah tokoh sejarah yang gigih dalam mengasas dan menerokai Kuala Lumpur sebagai pusat komersil dan perlombongan sekitar pertengahan abad 1800-an.

Ong berkata kerajaan yakin dasar itu akan tidak akan membebankan orang ramai kerana mereka tidak memaksa rakyat memasang tali pinggang keledar belakang dalam kadar segera tetapi memberi tempoh untuk berbuat demikian.

Katanya kementerian akan berunding dengan pengilang kereta untuk membekalkan kelengkapan itu dengan spesifikasi yang betul kepada pemilik kenderaan yang belum memilikinya.

Selain itu, katanya kementerian juga akan memastikan tiada pihak yang memonopoli dalam pembekalan kelengkapan itu kepada pemilik kenderaan.

Sebelum ini, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) mencadangkan kerajaan memberikan tempoh tertentu bagi pemilik kenderaan memasang tali pinggang keledar di bahagian belakang kenderaan dan mewujudkan kesedaran mengenainya sebelum ia dilaksanakan.

Ketua Pengarah JKJR Datuk Suret Singh berkata mengikut statistik polis penguatkuasaan penggunaan tali pinggang keledar bagi penumpang belakang dapat mencegah 350 kematian setahun, bagi kematian penumpang belakang kenderaan yang tidak menggunakan tali pinggang keledar dalam kemalangan jalan raya. BERNAMA

Tiada ulasan: