Puteri Umno Perak gerak 'Misi Puteri 2013' tawan semula negeri
IPOH: Pergerakan Puteri Umno Perak mahu menggunakan pengalaman, strategi dan taktik yang dikumpul menerusi program 'Misi Puteri 2013' untuk membantu Barisan Nasional (BN) menguasai semula negeri ini pada pilihan raya umum akan datang.
Ketuanya Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata misi itu yang akan dimulakan tidak lama lagi, juga bertujuan mengembalikan semula keyakinan rakyat khususnya generasi muda kepada BN.
"Kita mahu mengambil taktik, strategi daripada mereka yang berpengalaman untuk menghadapi parti Pakatan Rakyat di negeri ini sekaligus menyiapkan pergerakan menghadapi pilihan raya umum akan datang iaitu untuk membantu (BN) memenangi semula kerusi negeri.
"Sebelum itu kita tidak mahu menjadi pembangkang kosong sahaja kita mahu jadi pembangkang yang efisyen," katanya kepada pemberita selepas majlis Puteri Bersama Media di sini hari ini.
Beliau berkata antara program yang dirangka ialah siri bersama Kelantan, Terengganu dan Pahang yang mana semua ketua pergerakan Puteri di peringkat bahagian akan menemui pemimpin Umno yang berpengalaman di tiga negeri tersebut.
Katanya beberapa beberapa slot pengisiannya juga telah ditetapkan seperti mendengar taklimat atau ceramah daripada tokohtokoh Umno seperti Timbalan Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh.
Dr Wan Norashikin berkata pergerakan itu juga akan menjemput wakil Umno dari Kelantan untuk mendapatkan panduan berguna bagaimana untuk bekerja dengan berkesan di bawah pimpinan pembangkang.
"Terengganu di bawah pimpinan Datuk Seri Idris Jusoh telah bangkit semula selepas negeri itu jatuh ke tangan PAS pada 1999, jadi kita mahu tahu strategi yang betul untuk memerintah semula negeri ini," katanya.
Katanya selepas mendengar dan belajar daripada pemimpin Umno Kelantan dan Terengganu, pihaknya akan menjemput pemimpin tertinggi parti bagi memberi suntikan semangat kepada kirakira 25,000 anggota Puteri Umno di Perak.
Beliau berkata pergerakan itu turut lebih menumpukan kepada generasi muda bagi mendapat keyakinan mereka mengikut aspirasi golongan itu menerusi pendekatan yang menjadi pilihan mereka seperti blog, sukan dan teknologi maklumat. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan