BPR digesa siasat kaitan 'T' Best dengan kerajaan Terengganu
Suhaimi Taib
KUALA TERENGGANU - Badan Pencegah Rasuah (BPR) diminta menyiasat berhubung kaitan Syarikat 'T' Best Sdn. Bhd. dengan Kerajaan Negeri Terengganu
Ini kerana syarikat berkenaan dipercayai mengendalikan Pertandingan Perahu layar (Monsoon Cup) di masa lalu dengan menerima peruntukan kira-kira RM250 juta setahun.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata ahli lembaga pengarahnya terdiri dari pemimpin tertinggi Umno Terengganu.
Bagaimanapun beliau difahamkan bahawa syarikat berkenaan tidak ada kaitannya dengan kerajaan negeri Terengganu.
Beliau berkata demikian ketika berucap di satu majlis di Kuala Ibai, di sini baru-baru ini.
Dr Syed Azman turut mendedahkan bagaimana beliau telah mengemukakan soalan berkait dengan perbelanjaan untuk pertandingan monsoon cup berkenaan di Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu baru-baru ini.
Bagaimanapun Menteri Besar, Dato' Ahmad Said tidak menjawab soalan berkenaan dipercayai untuk menyembunyikan perbelanjaan sebenar projek membazir kerajaan Barisan Nsional (BN) itu.
Katanya lagi, BPR juga perlu menyiasat penyelewengan dikatakan berlaku dalam pengendalian projek Menambak Muara Sungai Terengganu yang dikatakan kos awalnya berjumlah RM50 juta tetapi kini meningkat sehingga lebih RM500 juta.
"Biar BPR siasat semua kes penyelewengan, rakyat Terengganu mahu badan itu menyiasat kes-kes berkenaan kerana sudah lama rakyat ditipu di bawah kepimpinan Umno," jelas beliau.
Dr Syed Azman turut membidas sikap suka bermewah-mewah menteri besar Terengganu dengan menukar kereta rasmi pimpinan tertinggi kerajaan dari Proton Perdana V6 Executive kepada Mercedes E200 Kompressor ketika rakyat negeri itu hidup dalam tekanan inflasi akibat kenaikan harga minyak. - mks._
Tiada ulasan:
Catat Ulasan