Kerajaan tidak cadang keluar semula wang kertas RM500 dan RM1,000
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Kong Cho Ha berkata, ini bagi mengelakkan pengedaran wang palsu yang berjumlah lumayan di negara ini.
"Penggunaan denominasi wang kertas RM100 pada masa ini adalah kecil, di samping itu orang ramai juga boleh menggunakan cek, kad kredit dan pemindahan dana sebagai alternatif pembayaran," katanya menjawab soalan Datuk Siringan Gubat (BN-Ranau).
Kong berkata, bagaimanapun mereka yang masih ada wang kertas denominasi RM500 dan RM1,000 boleh menukarkan wang itu di mana-mana cawangan Bank Negara Malaysia (BNM) di seluruh negara dan tiada tarikh akhir.
Beliau berkata, bagi wang kertas berdenominasi RM500, masih ada 151,482 keping belum dipulangkan kepada BNM dan nilainya ialah RM75.741 juta manakala RM1,000 pula sebanyak 28,315 keping masih belum dikembalikan dengan nilai RM28.315 juta.
"Kita tidak pasti mengapa masih ada wang kertas RM500 dan RM1,000 masih belum dikembalikan, mungkin ada yang menyimpan sebagai cenderamata atau mungkin ada yang terbakar atau hilang dan ada yang menyimpan dengan sebab tersendiri, kita tidak pasti," katanya. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan