HALAMAN SANTAI

Selasa, 19 Ogos 2008

Rakyat Selangor lebih bermakna menyambut kemerdekaan
Saidah Hairan


SHAH ALAM - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam melancarkan konvoi Jelajah Merdeka oleh Persatuan Wartawan Melayu dan Patrotrik Bangsa sempena kempen kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Selangor di Dataran Setiausaha Kerajaan Selangor (SUK).

Hujan lebat lebih kurang jam 8.50 pagi tidak menghalang Abdul Khalid meneruskan program melancarkan konvoi jelajah Merdeka dan kempen Kibar Jalur Gemilang.

Konvoi Jejajah Merdeka itu disertai 160 ahli dan keluarga Persatuan Wartawan Melayu dengan menggunakan 51 kenderaan yang terdiri daripada pacuan empat roda dan kereta.

Konvoi kali kelapan itu bermula di Dataran SUK dan akan berakhir di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos nanti.

Menurut Abdul Khalid, konvoi jelajah merdeka itu akan menemui setiap Menteri Besar dan Ketua Menteri meminta mereka membuat ikrar bagi membantu memakmurkan negara.

Katanya, Selangor akan menyambut kemerdekaan lebih awal pada 30 Ogos bagi menghormati sambutan awal Ramadan pada 1 September.

Beliau menyatakan, kerajaan Pusat memberi memperuntukkan RM100,000 yang akan diagihkan kepada setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menganjurkan acara sambutan kemerdekaan.

"Kali ini kita buat perbelanjaan secara berhemah. Pada 30 Ogos kita adakan acara dengan berjimat tetapi bermakna. Dalam keseronokan kita mesti berhemah sesuai dengan ekonomi kita sekarang," katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri telah meluluskan lebih RM500,000 termasuk belanja untuk perbarisan dan perbelanjaan itu terlalu kecil jika dibandingkan kerajaan dahulu.

Tahun sebelum ini katanya, program perayaan bulan kemerdekaan serta pelancaran kempen Jalur Gemilang peringkat negeri Selangor dikendalikan oleh Jabatan Perpaduan dan Intergrasi Nasional tetapi kali ini dikelolakan oleh PBT.

Beliau berkata, sambutan kemerdekaan kali ini amat bermakna dan lebih mencabar kerana dalam pilihan raya lalu PAS, DAP dan KeADILan berjaya 'memerdekakan' rakyat Selangor daripada terus diperintah BN. - lanh

Tiada ulasan: