Gambar hiasan Gambar hiasan
 
 
 
ALOR SETAR - Kira-kira 30,000 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan dalam Ops Bersepadu di seluruh negara sejak dilancarkan pada 22 Julai lepas.
  
Pengarah Penguatkuasa Jabatan Imigresen,  Zahari Abdul Aziz berkata Pati yang ditahan didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan dan tinggal melebihi tempoh ditetapkan di negara ini.
  
Katanya Ops Bersepadu itu menyasarkan seramai 100,000 warga asing lagi ditangkap atau dihantar pulang sehingga akhir tahun ini.
  
Sepanjang operasi itu, Jabatan Imigresen telah memeriksa 75,000 warga asing di seluruh negara dengan kebanyakan daripada mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.
  
"Kita juga akan ambil tindakan tegas terhadap majikan yang melindungi Pati," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Kedah di Anak Bukit di sini, hari ini.

Beliau berkata operasi bersepadu  di seluruh negara hari ini turut menahan 613 Pati dan lapan majikan.
  
Di Kedah, Ops bersepadu oleh Jabatan Imigresen Kedah menahan 39 warga Myanmar di beberapa lokasi termasuk di Shahab Perdana dan Jalan Langgar.
  
Zahari juga menggesa Pati supaya menyerah diri secara sukarela sebelum hujung tahun ini, dengan hanya membayar kompaun sebelum dihantar pulang. - Bernama