shahbudindotcom
Presiden Pas, Haji Hadi Awang terus bertindak membingungkan rakan-rakan
dalam PR berhubung kemelut Menteri Besar Selangor apabila menyatakan
mahu Khalid Ibrahim terus dikekallan di jawatan itu sebagai jalan keluar
terbaik bagi isu yang sudah lama berlarutan ini.
Kenyataan yang dilafazkanya kepada pemimpin muda PR yang mengunjunginya
itu turut menyebut bahawa Haji Hadi bersedia untuk memantau tugas Khalid
selepas ini.
Ketua AMK PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad yang hadir dalam pertemuan dengan
Haji Hadi bersama Ketua DAPSY, Teo Kok Seong dan Ketua Pemuda Pas,
Suhaizan Kayat, jelas resah dengan pendirian terbaru Presiden Pas itu
kerana ia sekali lagi bertentangan dengan pendirian rasmi PR berhubung
isu Menteri Besar Selangor ini.
Pendirian rasmi PR ialah bersetuju Khalid digantikan dan Dr Wan Azizah
Wan Ismail yang dicalonkan secara rasmi pula sudah pun membuktikan
sokongan majoriti 30 Adun yang dimilikinya.
Sebenarnya, pendirian terbaru Haji Haji ini bukan saja bertentangan
dengan PR, tetapi juga jelas tunggang-terbalik dengan pendirian Pas
sendiri sebelum ini. Pendirian mahu Khalid kekal ini adalah pendirian
awal Haji Haji yang dinyatakannya sebelum Hari Raya lalu, tetapi apabila
Khalid kemudiannya dipecat daripada PKR, Pas telah setuju menolak
Khalid serta mencalonkan Dr Wan Azizah dan Azmin Ali sebagai
penggantinya. Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Pas pada 17 Ogos
lalu.
Bagaimanapun apabila pendirian mencalonkan dua nama ini tidak
dipersetujui oleh PR, Pas dalam mesyuaratnya pada 25 Ogos membuat
pendirian menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Sultan Selangor
untuk memilih pengganti Khalid.
Apabila Sultan Selangor meminta setiap parti mengemukakan lebih daripada
dua nama, sementara PKR dan DAP kekal dengan pencalonan tunggal Dr Wan
Azizah, Pas sekali lagi memhuat keputusan berbeza. Pada 2 September,
melalui pencalonan yang diputuskan secara sendirian oleh Haji Haji, Pas
telah menghantar tiga nama daripad kalangan Adunnya sendiri untuk
mengganti Khalid iaitu Iskandar Samad, Salehan Mukhyi dan Dr Ahmad Yunus
Hairi.
Kemudian sebelum tarikh tutup 3 September yang diminta oleh Sultan
Selangor untuk mengemukakan nama kepada baginda, Pas sskali lagi
menghantar nama iaitu senarai kedua yang mengandungi nama Dr Idris Ahmad
dan Yaakob Sapari dari PKR serta Iskandar daripada Pas.
Setelah berpusing-pusing dan berbolak-balik pendiriannya, Haji Hadi
nampaknya sekali lagi membuat keputusan yang berbeza. Pendiriannya
mahukan Khalid kekal yang dinyatakan dalam pertemuan dengan para
pemimpin muda PR sebenarnya adalah pendirian awalnya sebelum ini tetapi
ianya sudah pun ditolak pada mesyuarat ahli jawatankuasa Pas pada 17
Ogos dengan alasan Menteri Besar itu sudah pun dipecat daripada PKR.
Tetapi kini, nampaknya Haji Hadi bersikap "wal hasil balik asal" dengan
kembali kepada keputusan asal yang mahukan Khalid terus dikekalkan
sebagai Menteri Besar.
Tindakan Haji Hadi ini bukan saja terus menunjukkan Pas berbeza
pendirian setiap kali membuka mulut, bahkan juga sesuatu yang jauh
daripada mendatangkan hasil. Ini kerana jika diimblas kembali, Khalid
sudah pun menyerahkan surat perletakan jawatannya sebagai Menteri Besar
serta sudah pun diperkenankan oleh Sultan Selangor, cuma ditangguhkan
saja buat sementara waktu sehingga pengganti yang baru dilantik.
Apakah Haji Hadi sedar mengenai perkara ini dan kerana Sultan sudah
menerima perletakan jawatan Khalidlah, maka baginda meminta dikemukakan
nama atau ini bermaksud beliau mahukan Sultan Selangor menarik balik
perkenan menerima perletakan jawatan Khalid pula?
Tambah menghairankan lagi, dengan mahukan Khalid dikekalkan ini, adakah
ini bermakna pencalonan melalui dua senarai yang selama ini
dipertahankan ssbagai haknya selaku Presiden parti itu, termasuk
mencalonkan Adun Pas sendiri hanyalah main-main saja?
Lebih dari itu, mencadangkan Khalid dikekalkan juga bagaikan menyongsang
arus kerana beliau adalah Adun Bebas yang hanya bersendirian serta jauh
daripada memiliki majoriti sokongan.
Dalam mahu mengekalkan Khalid ini, apabila Haji Hadi menawarkan mahu
memantau tugas-tugas Menteri Besar selepas ini, tentunya ramai yang
bersikap sinis mengenai kelayakan dan kemampuan beliau dalam hal itu.
Apakah pengetahuan ekonomi, pengurusan korporat, pentadbiran dan
lain-lain yang dimilikinya sudah cukup berwibawa untuk memantau tugas
Khalid pula?
Tentunya juga ada yang bertanya, bagaimanakah Haji Hadi yang hanya
bertahan selama sepenggal sebagai Menteri Besar Terengganu, mampu untuk
memantau dan mengawal selia pentadbiran di Selagor yang jauh lebih
kompleks dan sukar?
Itu belum dikira lagi kegagalannya menyelesailan pertelingkahan di Kedah
sehingga akhirnya kerajaan Pas dapat ditumbangkan oleh UMNO dan BN
dalam pilihanraya 2013 lalu.
Tetapi yang nyatanya, melalui pendirian terbaru ini, Haji Hadi masih
jauh daripada bersikap mahu bersama-sama dengan PR menyelesaikan masalah
yang pun sedia berbelit-belit ini. Setelah berpusing-pusing beberapa
kali dengan pendirian dan keputusan yang berbeza-beza, tiba-tiba mahukan
Khalid pula dikekalkan sedangkan tuan punya tubuh sudah menyerahkan
perletakan jawatan dan diperkenankan oleh Sultan Selangor, persoalan
yang bermain-main di fikiran ramai orang ialah apakah sebenarnya yang
dimahukan oleh Haji Hadi dalam isu ini?
Itu salah, ini salah dan semua orang orang serba salah.
Hanya Haji Hadi dan mungkin orang-orang yang rapat dengannya saja yang tahu apa isi hatinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan