HALAMAN SANTAI

Jumaat, 5 September 2014

Ahli akademik, individu tuntut kerajaan hormati prinsip kebebasan bersuara

 
Bukankah kerajaan sendiri yang melantik beliau untuk mendidik mahasiswa mengenai sistem perundangan negara kita, untuk menyelidik

.
azmi sharom300PETALING JAYA: 300 Ahli akademik dan Individu prihatin menyatakan bahawa tuduhan ‘menutur dan menerbitkan kenyataan menghasut’ yang dikenakan ke atas Dr Azmi Sharom menunjukkan bahawa kerajaan tidak menghormati prinsip kebebasan pendidikan serta kebebasan bersuara.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh laman web www.projekdialog.com mereka menyatakan bahawa tuduhan ‘menutur dan menerbitkan kenyataan menghasut’ terhadap Azmi Sharom hanya menunjukkan hipokrasi kerajaan.

“Bukankah kerajaan sendiri yang melantik beliau untuk mendidik mahasiswa mengenai sistem perundangan negara kita, untuk menyelidik, meneliti keputusan penghakiman, dan mengulas tentang maksud keadilan dalam sebuah demokrasi?” soal mereka.

Ujar mereka lagi, beliau didakwa melakukan ‘jenayah’ semata-mata kerana menggunakan akal fikiran dan berkongsi pendapat dengan masyarakat awam mengenai perkara yang berkaitan dengan kepakarannya sebagai seorang profesor undang-undang.

“Apa yang dilakukan Dr Azmi ialah mengingatkan Pakatan Rakyat Selangor supaya tidak mengambil jalan berlandaskan keputusan bersejarah Mahkamah Rayuan dalam kes Perak yang membolehkan perubahan kerajaan dan Menteri Besar di negeri itu.

“Sebailknya beliau menggesa Pakatan Rakyat supaya berpegang pada amalan biasa sejagat, iaitu menguji sokongan terhadap gabungan dan calon Menteri Besar mereka melalui undi percaya dalam dewan undangan negeri. Bagaimanakah ini boleh dianggap sebagai hasutan?” soal mereka lagi.

Kata mereka lagi, tindakan ini menunjukkan kerajaan dipimpin oleh ahli-ahli politik tidak dapat menghargai nilai-nilai demokratik masyarakat bertamadun yang berteraskan pendidikan sebagai landasan pencerahan sejagat.

Bahkan, azam Perdana Menteri Najib Razak yang kononya bertekad atas nama kecemerlangan akademik, demokrasi serta transformasi kerajaan dan ekonomi kelihatan lemah dan kekosongan.

“Kami berpendapat bahawa selagi seseorang itu tidak menyeru keganasan atau kebencian, tiada undang-undang dalam dunia moden ini yang boleh dijadikan alasan untuk mengharamkan pemikiran dan suara mana-mana individu.

“Menggunakan Akta Hasutan 1948, satu warisan perundangan kolonial British untuk mendakwa Dr. Azmi Sharom jelas menunjukkan satu ironi, bahawa rakyat Malaysia masih dibebankan dan ditindas oleh kerajaan yang kononya telah memerdekakan Malaysia dari penjajah selama 57 tahun,” ujar mereka lagi.

Tegas mereka lagi, undang-undang yang lapuk, kejam dan menindas seperti Akta Hasutan 1948 tidak patut lagi wujud dalam negara Malaysia yang moden, progresif dan demokratik.

“Ia suatu undang-undang yang hina dan harus dimansuhkan. Ia berlawanan sama sekali dengan hak kebebasan asasi yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Ia bertentangan dengan Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat dan ia juga bercanggah dengan fitrah kita sebagai manusia yang mempunyai minda untuk berfikir ke arah pencerahan. Bebaskan segera Dr Azmi Sharom daripada penyelewengan keadilan! Bebaskan Malaysia!” kata mereka.

Antara mereka yang menyatakan solidariti terhadap Dr Azmi Sharom adalah Professor Abdul Rahman Embong, Anil Netto, Ambiga Sreenevasan, Anas Alam Faizli.

Tiada ulasan: