Abu Bakar percaya Dr Mahathir tidak akan bercakap jika tidak mempunyai fakta.
Abu Bakar juga menerima teguran Dr Mahathir dengan hati terbuka kerana menganggap beliau sebagai orang lama yang mempunyai pengalaman.
“Saya percaya Dr Mahathir tidak akan bercakap jika tidak mempunyai fakta. Mesti ada sebab mengapa beliau mengatakan orang Melayu pemalas dan tidak amanah.
“Pada saya bangsa Melayu jika mahu maju kehadapan mestilah menerima teguran dengan sebaiknya ‘yang baik dijadikan tauladan, yang buruk dijadikan sempadan’,” katanya ketika dihubungi oleh FMT.
Tambah Abu Bakar, beliau menasihatkan kepada orang ramai supaya jangan mengambil kesempatan diatas teguran Dr Mahathir kerana ia seperti ingin menjatuhkan kredibilitinya.
“Beliau sudah berusia lebih 80 tahun serta sudah menghadapi pelbagai dugaan rintangan dan kejayaan di dalam hidupnya. Semestinya beliau lebih mengetahui apa yang diperkatakannya terhadap bangsa Melayu.
“Jangan menanguk di air yang keruh,” komennya terhadap Pengerusi Majlis Gagasan Malaysia,
Manivannan Rethinam yang sebelum ini membidas kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan “Melayu malas” dan “Melayu tidak berfikir dua kali untuk mengambil wang yang bukan milik mereka”.
Kata Abu Bakar, Manivannan tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan, jika beliau tidak faham isi dan fakta yang Dr Mahathir cuba sampaikan kepada orang Melayu.
“Pada saya Dr Mahathir cuba menyedarkan orang Melayu supaya bersikap amanah dan jangan jadi pemalas.
“Kenyataan Manivannan seperti ingin menjatuhkan kredibiliti Dr Mahathir yang sememangnya telah mempunyai pengalaman yang luas dan merupakan mantan perdana menteri yang pernah memegang jawatan tersebut lebih daripada 20 tahun,” ujarnya yang menganggap Dr Mahathir amat memahami ragam dan kerenah rakyat setiap kaum di negara ini.
Sebelum ini Manivannan mengesa supaya Dr Mahathir tidak membuat kenyataan melulu yang seolah-olah ditujukan kepada semua orang yang berbangsa Melayu.
“Jangan menuduh orang Melayu pemalas dan tidak jujur. Kenyataan mantan perdana menteri ini tidak sesuai buat masa ini kerana boleh melemahkan bangsa Melayu,” katanya.
Jelasnya, Perkasa Selangor berterima kasih atas kesudian Dr. Mahathir berkongsi ilmu dan pengetahuan yang beliau ada.
“Hanya mereka yang tidak boleh menerima kenyataan serta berkepentingan sahaja yang tidak dapat menerima pandangan dan teguran beliau.
“Jikalau beliau menegur bangsa Melayu, diharap bangsa lain tidak melatah, kerana mungkin tidak faham apa yang beliau maksudkan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan