KUALA LUMPUR: KEADILAN akan tetap mempertahankan agar Sabah dan Sarawak kekal bersama Malaysia, kata pimpinan tertinggi KEADILAN di negeri-negeri berkenaan.
Pengerusi KEADILAN Sarawak, Baru Bian berkata, rakyat Sarawak cuma tidak berpuas hati dengan pentadbiran Barisan Nasional yang dianggap menganaktirikan mereka, dan bukan mahu mengeluarkan negeri itu daripada Malaysia.
“Namun saya tak setuju Sarawak keluar dari Malaysia. Walau apa pun terjadi, kita akan tetap pertahankan negeri ini. Kita ada cara untuk selamatkan negeri ini, jangan keluar dari Malaysia.
“PRU akan datang, rakyat kena jatuhkan BN dan undi KEADILAN. Saya mahu rakyat Sarawak buat pertukaran kuasa, berikan kepada KEADILAN,” ujarnya ketika dihubungi.
Cadangan supaya Sabah dan Sarawak keluar daripada Malaysia disebarkan di internet dan laman sosial baru-baru ini sehingga menimbulkan kebimbangan ramai.
Portal The Malay Mail 3 September lalu melaporkan kenyataan Timbalan Pesuruhanjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman mengenai laporan sebuah blog yang mempromosikan cadangan tersebut.
Sementara itu, Pengerusi KEADILAN Sabah, Datuk Lajim Ukin turut berkongsi pandangan sama dengan Baru Bian dan menegaskan KEADILAN akan tetap mempertahankan Sabah untuk kekal dengan Malaysia.
Beliau menjelaskan ia bertujuan untuk meneruskan apa yang telah dipersetujui pimpinan terdahulu dalam Suruhanjaya Cobbold sekaligus menolak tuduhan terhadap Pakatan yang inginkan Sabah merdeka.
“Keputusan untuk Sabah bergabung dengan Malaysia bukan diputuskan sebahagian kecil pemimpin, tetapi ia dibuat oleh sebulat suara daripada Suruhanjaya Cobbold di mana wakilnya telah datang ke Sabah. Pungutan suara itu datangnya daripada pemimpin politik, ulama, pelbagai anutan agama.
“Jadi sepatutnya tidak perlu timbul isu untuk keluarkan Sabah daripada Malaysia, tuduhan itu hanya menimbulkan ketidakharmonian di kalangan penduduk Sabah,” tegas beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan