Oleh Shawaliah Hadir
PUTRAJAYA: Kira-kira 30 mahasiswa dari Gabungan Mahasiswa Islam
Semalaysia (Gamis) hari ini berkumpul di hadapan pintu masuk bangunan
Kementerian Dalam Negeri untuk menyerahkan memorandum bagi menuntut
pemansuhan Akta Hasutan 1948.
Suasana yang pada mulanya aman bertukar ganas apabila berlaku
tolak-menolak di antara petugas RELA dan polis yang mengawal pintu masuk
bangunan itu dengan kumpulan mahasiswa terbabit kerana tidak
membenarkan mereka naik ke pejabat KDN.
Peserta demonstrasi itu juga turut melaungkan slogan 'hidup mahasiswa',
'turun Zahid Hamidi', 'hidup rakyat', 'mansuh Akta Hasutan' dan turut
membawa patung yang dikafankan lengkap sebagai simbolik kepada 'matinya'
demokrasi negara.
Malah, mereka juga turut menuntut agar Menteri KDN Datuk Seri Dr Zahid
Hamidi untuk meletakkan jawatan kerana sehingga kini gagal memastikan
Akta Hasutan dimansuhkan seperti mana yang dijanjikan kerajaan sebelum
ini.
Setelah berkumpul sejam, Pegawai Khas KDN Saufi Abdul Rahman menerima memorandum daripada mahasiswa.
Pengerusi GAMIS Abdul Malik Abdul Razak berkata, mesej ini penting
untuk kerajaan persekutuan kerana dilihat menggunakan Akta Hasutan
sebagai lindungan parti yang memerintah.
Selain itu, kumpulan mahasiswa terbabit turut mengugut untuk mengadakan
demonstrasi jika pihak yang bertanggungjawab tidak memberikan sebarang
maklum balas mengenai perkara tersebut.
"Kami berpendirian bahawa Akta Hasutan 1948, adalah semata-mata menjaga
survival politik kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) bukan mahu menjaga
keamanan rakyat dan perpaduan antara kaum.
"Kita akan sentiasa bertanyakan perkembangan selepas ini dan memberikan
desakan lepada pihak Pejabat Perdana Menteri sekiranya tidak ada respon
kita tidak teragak-agak untuk turun ke jalanan bagi mebyatakan bantahan
kita bahawa kita mahu runtuhkan kezaliman yang diusahakan oleh pihak
kerajaan," jelasnya.
Memorandum itu turut disokong Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam
Malaysia (PKPIM) dan sayap mahaiswa PKR, Mahasiswa Keadilan Malaysia.
Himpunan hari ini bagaimana pun tidak disertai oleh Persatuan
Undang-Undang Universiti Malaya (UMLS) - sebuah persatuan mahasiswa di
tempat Azmi bersyarah.
UMLS menegaskan yang mereka percaya kepada perjuangan menegakkan
keadilan namun, memilih untuk bersikap berkecuali dalam hal bersifat
kepartian.
Pensyarah Undang-Undang Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Azmi
Sharom pada 2 September lalu mengaku tidak bersalah atas tuduhan
menghasut berhubung kenyataannya tentang krisis Perlembagaan Perak.
Beliau didakwa ekoran artikel yang disiarkan oleh sebuah portal pada 14
Ogos bertajuk "Take Perak crisis route for speedy end to Selangor
impasse, Pakatan told" (Ambil jalan krisis Perak, selesaikan segera
kebuntuan Selangor, Pakatan diberitahu).
Beliau dikatakan melakukan kesalahan tersebut di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur pada 15 Ogos.
Azmi yang berumur 45 tahun berdepan dengan dakwaan mengeluarkan
kata-kata hasutan yang merupakan kesalahan mengikut Seksyen 4 (1) (b),
Akta Hasutan 1948.
Beliau juga berhadapan dengan satu lagi dakwaan kerana menerbitkan kenyataan menghasut mengikut Seksyen 4 (1) (c), akta sama.
Kedua-dua kesalahan boleh menyebabkannya dipenjarakan maksimum tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-dua sekali.
Hari ini Bekas Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Muhammad
Safwan Anang dijatuhkan hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Sesyen
di sini hari ini atas pertuduhan memberi ucapan berbaur hasutan dalam
ceramahnya, tahun lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan