SHAH ALAM: Hubungan dalam Pakatan Rakyat semakin tegang apabila PKR dan
DAP dikejutkan oleh PAS yang mengumumkan ia menghantar tiga nama untuk
calon jawatan Menteri Besar Selangor, dengan seorang daripadanya adalah
ADUN PAS.
Langkah itu bukti jelas bahawa PAS sudah tidak sehaluan dengan dua
sekutunya yang telah bersetuju untuk mencalonkan hanya presiden PKR,
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk jawatan berkenaan.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali mengesahkan tindakan parti itu semalam.
"Betul," katanya apabila ditanya sama ada PAS telah menghantar nama
salah seorang ADUN-nya, di samping dua lagi nama daripada PKR.
Mustafa juga mengumumkan dalam akhbar parti Islam itu, Harakahdaily,
nama tiga calon berkenaan dihantar terus dari pejabat presiden PAS ke
istana, menandakan Presiden PAS merestui perkara tersebut.
"Ya, lebih dari dua nama, jadi tiga namalah," kata beliau apabila menjawab soalan dari Harakahdaily.
Beliau menambah bahawa langkah PAS bertujuan memenuhi permintaan Sultan
Selangor yang telah bertitah pada 26 Ogos lalu, meminta anggota
gabungan Pakatan menghantar sekurang-kurangnya tiga nama untuk
menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar.
Bagaimanapun, Mustafa tidak mendedahkan nama dua anggota PKR dan seorang dari PAS yang dicalonkan oleh parti itu.
Sumber berkata, Dr Wan Azizah dan timbalan beliau, Azmin Ali hampir
pasti dua calon dari PKR manakala calon PAS berkemungkinan besar ialah
Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad.
Iskandar, yang juga ADUN Cempaka, memegang jawatan sebagai Pengerusi
Exco Perumahan, Pengurusan Pembinaan dan Penduduk Bandar di bawah
pentadbiran Khalid.
Rabu lalu, PKR mengesahkan ia menghantar hanya nama Dr Wan Azizah ke istana sebagai calon, sebagaimana yang dilakukan oleh DAP.
Pada hari sama PAS menghantar pencalonannya melalui perkhidmatan kurier
ke Istana Mestika hanya beberapa jam sebelum tamat tempoh ditetapkan
oleh istana.
Difahami perbuatan PAS menunggu sehingga saat-saat terakhir untuk
menghantar pencalonannya ialah untuk merahsiakan nama calon demi
mengelakkan campur tangan dari sekutunya dalam Pakatan.
Perkara itu dirahsiakan dengan begitu rapi sehingga pucuk pimpinan PAS
Selangor sendiripun tidak tahu menahu mengenai langkah tersebut.
Apabila dihubungi, Iskandar berkata beliau langsung tidak tahu apa-apa
mengenai nama-nama yang dicalonkan, dan tidak pasti sama ada laporan
awal mengenainya adalah benar.
"Saya tidak boleh komen sebab saya tidak diberitahu oleh pucuk pimpinan nama-nama calon yang dihantar.
"Kami langsung tak tahu menahu,” tambahnya.
Beliau juga enggan mengulas kemungkinan beliau juga adalah calon PAS untuk jawatan tersebut.
Apa yang jelas juga ialah PAS mengelakkan PKR dan DAP daripada mendapat apa-apa maklumat mengenai langkahnya.
Ini bukan kali pertama PAS melakukan kejutan dalam krisis pucuk pimpinan Selangor.
Sebelum ini, ia dikecam hebat ahlinya sendiri dan juga penyokong
Khalid, apabila tunduk kepada tekanan sekutunya dan kumpulan pro-PKR
dalam PAS, supaya mengingkari keputusan Majlis Syura untuk menyokong
Khalid.
Pada 17 Ogos lalu jawatankuasa pusat PAS mengambil keputusan seperti
sekutunya dalam Pakatan untuk menyokong pencalonan Dr Wan Azizah sebagai
pengganti Khalid, justeru mengenepikan keputusan Majlis Syura pada 7
Ogos untuk menyokong Khalid sebagai MB.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan