PONTIAN - Hati ibu bapa mana tidak sedih apabila melihat anak yang dahulu aktif dalam sukan secara tiba-tiba disahkan menghidap kanser tulang selepas sambutan Aidilfitri lalu.
Itulah hakikat terpaksa diterima pasangan suami isteri, Yacob Mohd Nor, 43, dan isteri Sariah Suratin 41, apabila anak kedua daripada tiga beradik, Fakrulrazif, 15, yang kini terlantar sakit.
Sariah berkata, anaknya dikesan menghidap penyakit kanser selepas mengadu sakit kaki sehingga menyebabkannya sukar bergerak.
“Selepas Aidilfitri, Fakrulrazif guna tongkat untuk bergerak kerana kaki kanannya membengkak. Namun kami bawa dia ke hospital di Johor Bahru bila dia tiba-tiba tak boleh bangun dan bergerak.
“Melalui keputusan MRI, doktor memberitahu anak kami hidap kanser tulang,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Taman Utama Pekan Nenas, semalam.
Sariah berkata, Fakrulrazif sering menangis kesakitan.
Menurutnya, anaknya itu juga mahu kembali pulih supaya dapat bersekolah dan menjadi wakil Sekolah Menengah Pekan Nenas untuk kejohanan kriket di peringkat daerah.
“Macam-macam kaedah perubatan kami buat termasuk cara tradisional. Doktor juga nasihatkan kami bawanya ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM)," katanya.
Katanya lagi, bengkak pada paha kanan Fakrulrazif semakin membesar iaitu tiga kali ganda dari saiz paha kiri mengakibatkan tidak boleh berdiri atau duduk.
Tambahnya, berat badan Fakrulrazif juga turun mendadak sejak sakit.“Sebagai ibu, saya susah hati. Buat masa sekarang saya ambil cuti tanpa gaji selama sebulan. Saya sanggup berhenti demi jaganya,” katanya.
Selain itu, Sariah berkata, dia tidak mampu menanggung kos perubatan anaknya hanya dengan pendapatan sebagai pekerja
kilang di Senai.
“Kami ada terima sumbangan dari Baitulmal sebanyak RM300 ketika kunjungan Adun Kukup, Suhaimi Salleh bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Kunjungan dan sumbangan itu bantu ringankan beban kami malah ada kesediaan bantu Fakzrulrazif menjalani rawatan di HUSM,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan