Roketkini.com
GEORGE TOWN: Pasukan Peronda Sukarela (PPS) adalah
pertubuhan sah yang diluluskan kerajaan negeri Pulau Pinang, sama
seperti Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) yang
ditubuhkan kerajaan negeri ataupun JKKK (P) yang ditubuhkan kerajaan
persekutuan selepas pilihan raya umum ke-12 pada 2008.
Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, PPS adalah badan sah
yang diluluskan kerajaan negeri menerusi mesyuarat Exco pada 8 April
2009 bermatlamat membantu kerja bantuan bencana dan kecemasan serta
memberikan segala bantuan kepada pihak polis.
“Semua rakyat Pulau Pinang dibenarkan mengambil bahagian
tanpa kira kaum, agama ataupun latarbelakang. Sejak kelulusan itu PPS
menjalankan tugas dengan baik dengan restu pihak polis.
“Selama empat tahun ini, PPS tidak menghadapi sebarang
masalah dengan pihak polis, kecuali satu dua insiden yang telah pun
diambil tindakan disiplin oleh kerajaan negeri dan hukuman oleh
mahkamah,” kata Guan Eng pada media selepas mesyuarat tergempar bersama
Exco dan ADUN Pulau Pinang hari ini.
Tambahnya, kerajaan negeri Pulau Pinang tidak akan
berkomrpmi dan akan mengambil tindakan keras ke atas mana-mana
sukarelawan PPS yang tidak berdisiplin atau terlibat dalam masalah
pelakuan bersifat jenayah.
Justeru beliau mengecam keras fitnah Ketua Polis Negara, Tan Seri Khalid Abu bakar yang menuduh PPS sebagai pertubuhan haram.
Menurut Guan Eng, selepas lima tahun penubuhan sukarelawan
PPS berjumlah 9,002 orang yang terdiri daripada 2,970 orang Melayu
(33%), 5,123 Cina (57%) dan 873 India (10%).
PPS direhatkan
Dalam pada itu Guan Eng mengumumkan bahawa kerajaan negeri
merehatkan anggota PPS di Pulau Pinang sehingga keputusan mahkamah
dibuat berhubung status pertubuhan sukarelawan itu.
Namun kata Guan Eng orang ramai di negeri ini masih boleh
menggantikan peranan PPS dengan membantu pihak polis meneruskan langkah
kepolisan masyarakat untuk mencegah jenayah.
Guan Eng turut memaklumkan kerajaan negeri menyediakan
bantuan guaman dan kewangan kepada 156 anggota PPS bersama Exco
Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Phee Boon Poh yang
masih ditahan polis untuk menghadapi proses perundangan.
“Semua peserta PPS yang ditahan itu akan diberikan
sumbangan RM200 setiap hari ditahan serta apa-apa kerugian munasabah
yang dialami semasa dalam tahanan.
“Semua peguam yang perlu akan dilantik oleh pihak kerajaan negeri untuk membela mereka,” kata Guan Eng. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan