HALAMAN SANTAI

Isnin, 15 September 2014

Setelah Mahathir menyebelahi Anwar, istana Selangor kehilangan asas moral

Oleh Aziz Bari


Ia tidak perlu kerana undang-undang dan amalan mengenai hal ini sangat jelas. Tetapi apabila bekas Perdana Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan pada 11 September bahawa beliau, ketika menjadi Presiden Umno, ada menghantar satu nama ke istana, dan dia membuktikan kewajaran musuh ketatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, dua hari sebelum itu, memohon maaf kepada Sultan Selangor kerana mengemukakan hanya satu nama dan bukannya dua seperti yang dititahkan DYMM. Baginda Sultan telah meluahkan rasa tidak puas hatinya, dan baginda menegur PKR dan DAP. Hanya Pas yang telah mematuhi permintaan istana.

Anwar, seperti DAP, kekal mencalonkan nama Datuk Seri Dr Wan Azizah sebagai calon MB kerana menurut pemimpin Pakatan Rakyat itu, ia melibatkan prinsip perlembagaan.

Tidak ramai yang mengetahui bahawa Mahathir sebenarnya tidak menggemari perebutan kuasa yang dipimpin Umno di Perak pada tahun 2009, apabila parti Melayu itu bergantung kepada bantuan raja untuk merampas negeri itu kembali selepas tewas di sana dalam Pilihan Raya Umum 2008. Saya berpeluang mendengarnya dari mulut beliau sendiri semasa sebuah jamuan. Mahathir mengetahui bahawa jika pendapatnya diketahui umum, ia akan mendapat kemarahan Umno yang terdesak untuk mengembalikan zaman kegemilangannya.

Namun begitu, bagi mereka yang sempat melihat bagaimana Mahathir berjuang bermati-matian untuk mengehadkan kuasa dan pengaruh raja-raja dalam dua dekad pemerintahannya, mereka tidak akan terlalu terkejut.

Perlu diingat bahawa Mahathir telah mengarahkan Anwar, yang ketika itu merupakan naib presiden Umno, untuk mengetuai rundingan dengan raja-raja selepas Umno kehilangan Kelantan dalam Pilihanraya Umum 1990. Parti Melayu itu dimalukan 36-0 oleh Pas yang ketika itu bersama Semangat 46, sebuah parti serpihan yang diketuai oleh Tengku Razaleigh Hamzah. Perhimpunan agung parti itu selepas itu telah dipenuhi dengan kecaman ke atas sembilan raja-raja, yang sebahagian besarnya sepatutnya dibalas dengan tindakan oleh Akta Hasutan 1948. Umno akhirnya mengeluarkan sebuah resolusi: kuasa melantik Menteri Besar di tangan raja-raja mesti dimansuhkan. Kembali ke rundingan itu sendiri, raja-raja ketika itu diketuai oleh Almarhum Sultan Azlah Shah yang pernah menjadi Ketua Hakim Negara – ketua badan kehakiman – sebelum baginda naik takhta pada tahun 1984.

Memandangkan prosedur pindaan dalam Perlembagaan itu sendiri dan juga sifat tidak menentu pilihan raya umum, Umno kemudian menyedari bahawa pemansuhan itu tidak boleh dilakukan. Tetapi entah bagaimana parti Melayu itu masih mahu mendapat keuntungan politik. Itu sebabnya mereka hendak meletakkan had kepada apa yang Umno dakwa adalah campur tangan raja-raja dalam politik. Ini telah dinyatakan di dalam sebuah dokumen, secara rasminya dikenali sebagai Deklarasi Prinsip Perlembagaan 1992, yang sebenarnya disudahkan selepas beberapa siri rundingan antara raja-raja dan sebuah pasukan Umno yang dipimpin oleh Anwar.

Sehingga kini, saya merasakan bahawa amalan yang konsisten ini telah dijalankan sejajar dengan Perlembagaan. Oleh itu apa yang telah dilakukan oleh Sultan Selangor – mengabaikan majoriti besar dalam Dewan Undangan Negeri dan berkeras mahukan nama-nama baru dikemukakan – sebagai satu-satunya percanggahan dalam peralihan kuasa yang lancar di Selangor ekoran pemecatan Tan Sri Khalid Ibrahim dari PKR pada 9 Ogos.

Jika kita melihat undang-undang kepada situasi lazim selepas pilihan raya umum atau peralihan kuasa setelah tamat penggal, kejadian dahulu amat tidak berpihak dengan istana Selangor. Saya tahu ada yang akan memetik dua perkara yang dikemukakan oleh dua orang peguam – Datuk Sallehudin Saidin dan Datuk Param Cumaraswamy – pada 10 September. Respon ringkas saya kepada mereka ialah kita perlu memahami peruntukan-peruntukan Perlembagaan dalam konteks Parlimen, oleh itu kita perlu merujuk kepada amalan negara-negara Komanwel. Ini telah disyorkan oleh Suruhanjaya Reid yang merangka Perlembagaan kita. Kedua-dua peguam nampaknya mengambil peruntukan-peruntukan ini keluar daripada konteks itu. Dan sebab itu mereka mendapat keputusan yang pelik.

Kejadian-kejadian terdahulu yang saya nyatakan di atas termasuklah peralihan kuasa yang lancar antara Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak pada tahun 1970. Peristiwa-peristiwa lain melibatkan Datuk Hussein Onn dan Mahathir pada tahun 1981, dan Mahathir dan penggantinya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada tahun 2003. Kita melihat corak yang sama pada tahun 2009 apabila Datuk Seri Najib Tun Razak menggantikan Abdullah. Hakikatnya adalah Yang di-Pertuan Agong, untuk menggunakan istilah pakar perlembagaan Profesor Rodney Brazier, tidak memainkan peranan penting dalam proses ini: seorang pemerhati semata-mata. Sesungguhnya ini adalah apa yang diharapkan daripada pengadil yang baik, yang mesti tidak melibatkan diri.

Kita mempunyai undang-undang yang sama di peringkat negeri. Sebab itu kita melihat fenomena yang sama di Sarawak dan Terengganu awal tahun ini. Malah di Selangor kita turut melalui pengalaman yang sama. Ingat tahun 1997? Sultan menerima hanya satu nama yang dikemukakan oleh Mahathir. Dan yang menarik perhatian, calon MB ketika itu bukan pun seorang Anggota Dewan Selangor: Datuk Abu Hasan Omar masih merupakan seorang menteri persekutuan dalam kabinet Mahathir! Jadi adalah aneh bahawa Wan Azizah masih belum dapat menghadap baginda Sultan. 

(*)  Dr Abdul Aziz Bari merupakan bekas professor undang-undang UIAM yang kini mengajar di UNISEL. Beliau juga merupakan seorang felo kanan di IDEAS dan Institut Pulau Pinang, sebuah badan pemikir dimiliki kerajaan negeri.

Tiada ulasan: