Khalid Ibrahim Khalid Ibrahim
 
 
 
SHAH ALAM - Perjanjian Utama mengenai penstrukturan semula industri air yang akan didedah kepada umum, adalah tertakluk kepada Enakmen Kebebasan Maklumat Negeri Selangor, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Perjanjian Utama ini akan didedahkan kepada umum, tertakluk kepada Enakmen Kebebasan Maklumat Negeri Selangor dengan kerjasama Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jumaat lepas, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Selangor memeterai Perjanjian Utama bagi memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air itu.

Dengan termeterainya perjanjian utama itu, Air Selangor Sdn Bhd (ASSB), sebuah entiti baharu, akan mengambil alih operasi dan penyelenggaraan loji rawatan air serta perkhidmatan pembekalan air yang sebelum ini dilakukan empat syarikat konsesi.

ASSB mengambil alih tiga syarikat konsesi air negeri Selangor iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Konsortium Abass Sdn Bhd (Abass) dan pemegang lesen perkhidmatan iaitu Konsortium Air Selangor Sdn Bhd (KASB).

Abdul Khalid berkata perjanjian itu dimuktamad dengan kos pengambilalihan penstrukturan semula industri air jauh lebih rendah daripada tawaran awal yang dilakukan kerajaan negeri iaitu RM7.45 bilion berbanding RM9.65 bilion.

Dalam pada itu, beliau berkata sebarang kenaikan tarif air di masa depan akan dilakukan pada kadar berpatutan di bawah kawal selia Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara dengan persetujuan kerajaan negeri. - Bernama