Roketkini.com
MERSING: Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang tidak
bersetuju sekiranya Tun Dr Mahathir Mohamad didakwa dibawah Akta
Hasutan, namun rakyat Malaysia perlu sedar bahawa ‘hasutan’ bekas
Perdana Menteri keempat itu lebih teruk.
Kit Siang dalam satu kenyataan berkata, Dr Mahathir membuat
tuduhan tidak masuk akal, palsu dan ganas ketika beliau bertanding di
parlimen Gelang Patah dalam pilihan raya umum ke-13 yang lalu.
Antara tuduhan Dr Mahathir ialah kononnya beliau bertanding
di Gelang Patah menyebabkan perbalahan antara orang Melayu dan Cina di
Johor kerana mahu orang Cina di Johor ‘tidak suka dan benci kepada orang
Melayu’.
Kit Siang mendedahkan, Dr Mahathir turut menuduh DAP
menolak konsep perkongsian kuasa antara bangsa-bangsa di Malaysia dan
mahu menggulingkan kuasa politik orang Melayu.
“Ini bukan sahaja mengarut, tetapi sangat tidak
bertanggungjawab, melulu dan berniat jahat bertujuan menghasut kebencian
antara kaum dan berkali ganda ‘menghasut’ berbanding apa dilakukan oleh
mereka yang kini menjadi mangsa dakwaan hasutan oleh pihak berkuasa,”
kata Kit Siang pada majlis makan malam anjuran DAP Mersing, Jumaat lalu.
Terbaru, Dr Mahathir sekali lagi melakukan provokasi
seolah-olah bertujuan menimbulkan kemarahan apabila menyatakan bahawa
orang Melayu ‘malas’, ‘tidak malu selepas gagal’, ‘kurang amanah
mengendalikan wang’ dan ‘pencuri’.
Kata Kit Siang, sekiranya ucapan tersebut datang dari
pemimpin DAP dan Pakatan Rakyat sudah pasti mereka ditangkap dan diheret
ke mahkamah di bawah Akta Hasutan.
Namun tegas Kit Siang, ia tidak bermakna Dr Mahathir dan Menteri Umno wajar ditangkap dan diheret ke mahkamah kerana hasutan.
Sebaliknya rakyat Malaysia berhak mengetahui mengapa
serangan ‘hasutan’ berterusan terhadap perbezaan pendapat dan kritikan,
sedangkan Dr Mahathir dan Menteri Umno lebih bersalah kerana
‘menghasut’.
Justeru kata Kit Siang, telah tiba masanya untuk rakyat
Malaysia kembali berfikiran rasional dan beliau menyeru untuk
menghentikan serta-merta tuduhan hasutan terhadap perbezaan pendapat dan
kritikan selain menarik semula semua tuduhan.
“…meskipun Perdana Menteri paling lama berkhidmat, Tun Dr
Mahathir Mohamad dan Menteri-menteri Umno yang pertama sekali harus
diheret ke mahkamah kerana ‘menghasut’, ujar Kit Siang, sinis. -
Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan