Roketkini.com
GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang adalah negeri
pertama di negara ini yang menolak sebarang cadangan untuk membina loji
janakuasa nuklear, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng.
Berucap pada pelancaran Karnival XOX Hijau Antarabangsa
Pulau Pinang 2014 pagi ini, Guan Eng turut menggalakkan orang ramai
untuk menandatangani petisyen bantahan mulai daripada hari ini.
“Walaupun bekalan tenaga bukan di bawah bidang kuasa
kerajaan negeri, kami amat mengambil berat tentang pembangunan tenaga
boleh diperbaharui.
“Kerajaan Persekutuan bercadang membina dua loji kuasa
nuklear di Malaysia, (dan) kami adalah negeri pertama yang menolak
cadangan itu.
“Kami berharap kawasan lain di Malaysia akan selamat dari
risiko loji kuasa nuklear. Anda boleh menyokong kami dengan
menandatangani petisyen hari ini,” kata Guan Eng.
Katanya, pilihan peribadi dan gaya hidup memberikan kesan besar keatas alam sekitar dan perubahan iklim .
Justeru Guan Eng menggesa rakyat Malaysia menyokong usaha
pengembangan teknologi hijau dengan menguruskan sumber, bahan sisa,
sumber air dan tenaga dengan cara yang bijak dan cekap.
“Jika anda ingin memastikan kemampanan alam sekitar,
ekonomi dan sosial untuk anak-kanak kita, anda tidak mempunyai pilihan
lain tetapi menghadapi cabaran perubahan iklim bersama-sama.
“Ayuh cari jalan penyelesaian, dan andalah jalan penyelesaiannya,” ujar Guan Eng.
Karnival XOX Hijau Antarabangsa Pulau Pinang adalah program
yang julung kali diadakan di negeri ini bersama lebih 90 syarikat
antarabangsa dan tempatan selain pertubuhan alam sekitar bertujuan
berkongsi pengalaman dalam menghadapi perubahan iklim melalui pengurusan
tenaga, air dan bahan buangan.
Pulau Pinang antara negeri terawal yang menggalakkan kempen
‘sifar bahan buangan’ telah mengadakan kempen pengurangan penggunaan
beg plastik di pasar raya semenjak 2009.
Guan Eng berkata, kerajaan negeri menyasarkan tahun 2013
Pulau Pinang mencapai kadar kitar semula 30 peratus, dijangka melebihi
sasaran kadar 20 peratus kitar semula negara menjelang tahun 2020. –
Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan